DAP Jangan Angkuh 1.2 Juta Penjawat Awam Yang Digelar “Kucing Kurap” Ada Kuasa Mengundi

Oleh: Azlina Rosdy
KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah percaya sikap biadap dan angkuh pemimpin DAP yang enggan memohon maaf atas gelaran “kucing kurap” kepada kakitangan awam akan terus kekal dalam ingatan lebih kurang 1.2 juta kakitangan awam seluruh Negara.

Justeru, beliau berharap 1.2 juta kakitangan awam akan beri pengajaran berguna bukan saja kepada ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi tetapi seluruh kepimpinan DAP termasuk pakatan pembangkang yang lain pada masa hadapan terutama ketika pilihan raya umum nanti.

Jelasnya lagi sikap yang ditunjukkan Jeff Ooi ini memberikan gambaran bahawa inilah sikap dan cara kepimpinan DAP yang angkuh, sombong serta tidak bertanggungjawab.

Tambah beliau sejak penghinaan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP itu, ramai pihak telah menggesa agar DAP mengambil tindakan segera malah Jeff Ooi juga didesak memohon maaf secara terbuka.

Namun sehingga ke hari ini masih tiada sebarang kenyataan maaf dikeluarkan malah pimpinan tertinggi DAP juga tidak memberi sebarang respon terhadap isu ini.

“Tindakan berdiam diri DAP ini seakan merestui pemimpin mereka bersikap kurang ajar dan mencela penjawat awam. Atau adakah mereka bersetuju dengan cara ahli parlimen Jelutong ini… DAP harus sedar diri dan jangan terlalu rasa selamat dengan kedudukan mereka sekarang kerana mereka mampu jatuh pada bila-bila masa sahaja.

“Mungkin DAP berasa selesa berlandaskan pencapaian mereka pada PRU yang lalu tetapi jangan lupa, rakyat sekarang ini bukan bodoh dan mampu berfikir lebih jauh. Tidak mustahil mereka akan ‘mengajar’ DAP pada PRU akan datang sekiranya rakyat terutamanya penjawat awam terus dihina,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong menambah, DAP seharusnya tegas mengambil tindakan terhadap pemimpin mereka yang bersikap keterlaluan sebagaimana mereka sering mendesak kerajaan pusat mengenakan tindakan terhadap pemimpin yang melakukan kesalahan.

Tidak mustahil 1.2 juta penjawat awam di negara ini bakal memberi pengajaran bermakna kepada pembangkang khususnya DAP.

Jika sebelum ini ada pemimpin DAP yang menuduh punca rasuah berleluasa adalah kerana ramai orang Melayu bekerja sebagai kakitangan awam kini penjawat awam disamakan pula dengan kucing kurap. – MediaUMNO