Lenggong ubah sejarah dunia

PENEMUAN bukti dalam bentuk alat batu di Lembah Lenggong, utara Perak nyata telah mengubah sejarah dunia. Kajian arkeologi di tapak-tapak ekskavasi di sekitar lembah tersebut telah menemukan bukti kewujudan aktiviti manusia terawal di Asia iaitu kira-kira 1.83 juta tahun dahulu.

Sebelum penemuan tersebut, pakar-pakar arkeologi dunia hanya tertumpu di benua Afrika bagi mencari bukti terawal kehidupan dan kebudayaan manusia.

Afrika menjadi tumpuan kerana wujud bukti tertua di benua tersebut sehingga lahirnya teori Out of Afrika.

Teori tersebut menunjukkan laluan kuno manusia awal keluar dari Afrika ke bahagian lain di muka bumi ini, manakala Multiregional Theory pula mencadangkan adanya pergerakan manusia awal dari bahagian lain di planet Bumi ini.

Berikutan penemuan-penemuan yang dilakukan oleh pakar arkeologi negara, Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid dan Profesor Dr. Mokhtar Saidin, maka kita boleh mencadangkan satu teori baru bagi menggantikan teori Out of Africa.

Dengan penemuan tersebut juga, tapak arkeologi Lembah Lenggong telah diiktiraf sebagai antara 953 Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 30 Jun 2012.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai bukti-bukti yang boleh menyokong kemunculan teori baharu itu, wartawan S2 ROHANA MAN dan jurugambar ISMAIL KAMADIN serta ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN menemubual individu-individu penting tersebut, selain melakukan sendiri tinjauan di tapak ekskavasi di Bukit Bunuh dan Kota Tampan, Lenggong, Perak baru-baru ini.

19

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131214/re_06/Lenggong-ubah-sejarah-dunia#ixzz2nSkwPVQK
© Utusan Melayu (M) Bhd