Pas Wujudkan Blok Baru Serlahkan Pembangkang Terus Celaru

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kecelaruan dikalangan parti pembangkang dilihat makin terserlah apabila Pas pula mengumumkan akan membentuk gabungan blok pembangkang baru yang akan dilancarkan pada 16 Mac nanti sekaligus memperlihatkan pembangkang bersimpang siur.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata selepas terkuburnya Pakatan Rakyat dan lahirnya Pakatan Harapan yang diterajui bersama Dap, PKR dan Amanah, kemunculan blok baru pembangkang seperti yang diwar-warkan oleh pimpinan Pas merupakan satu lagi episod malang buat pembangkang.

Menurut beliau itu belum lagi dikira apakah nama bentuk pakatan yang memerintah negeri Selangor hari ini antara ketiga-tiga parti iaitu PKR, dap dan Pas yang jelas tidak ada satu ksesepakatan serta permuafakatan yang padu sesama mereka.

“Jelas dan terpampang di depan mata kita semua bagaimana celarunya parti-parti pembangkang dalam membentuk satu gabungan. Sebenarnya masing-masing hendak mempergunakan antara satu dengan yang lain dan perasaan yang penuh curiga sesama sendiri menyebabkan wujudnya senario tersebut.

“Jika itu tidak wujud, sudah tentu dan sudah pastinya mereka akan dapat bekerjasama dan duduk dalam satu gabungan yang mempunyai titik noktah yang sama tetapi itu tidak berlaku di kalangan mereka,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat Pas yang akan mengumumkan satu blok pembangkang baru pada 16 Mac ini. Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyudin Hasan dilaporkan berkata kewujudan blok berkenaan bakal diwujudkan dengan sebuah parti pembagai kaum dan NGO.

Mengulas lebih lanjut Shamsul yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO seterusnya menambah sememangnya di dalam parti pembangkang hanya yang bijak dan yang cerdik sahaja akan mendapat keuntungan politik.

Justeru jelasnya mungkin Pas akan mencuba nasib menerusi blok baru pembangkang berkenaan untuk menjadi sebuah parti yang dominan di dalam pakatan terbabit.

“Mungkin berasaskan kepada pengalaman lalu ketika parti itu berada di dalam Pakatan Rakyat yang sentiasa menjadi bahan dan permainan kepada rakan sekutu yang lain menyebankan Pas cuba mencari gabungan lain.

“Untuk menjadi parti dominan bersama Pakatan Harapan adalah satu perkara yang cukup mustahil. Jadi dengan cara terbaik adalah mewujudkan apa yang diperkatakan itu dan mungkin hasrat Pas tercapai kelak,” katanya.