‘PEMBIAYAAN PTPTN BUKAN RIBA’

1. Pembiayaan PTPTN bukan merupakan pembiayaan yang berunsur riba sebagaimana yang disebarkan melalui laman sosial baru-baru ini. PTPTN adalah pembiayaan pendidikan yang patuh syariah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam.

2. Ujrah atau upah 1% setahun atas kadar rata adalah amat minimum dan bukan atas dasar mengambil keuntungan serta diperlukan bagi menampung kos operasi PTPTN termasuk kos bagi pengurusan dan pentadbiran setiap akaun peminjam. Sebagai contoh, sekiranya pembiayaan adalah melibatkan RM20,000 dalam tempoh 10 tahun, maka upah atau Ujrah dikenakan sebulan hanyalah RM16.67 dan setahun sebanyak RM200.00 sahaja. Jelas, Upah atau ujrah ini adalah amat minimum dan tiada mana-mana institusi kewangan lain yang mengenakan caj serendah ini.

3. Selain itu, peminjam juga tidak dikenakan sebarang kenaan Ujrah atau Upah sekiranya membuat bayaran balik dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Bagi meringankan lagi bebanan peminjam PTPTN, pelaksanaan pengecualian bayaran balik pembiayaan PTPTN turut disediakan. Peminjam PTPTN diberikan kemudahan untuk tidak perlu membayar balik walau sesenpun kepada PTPTN dengan syarat peminjam perlu fokus, belajar bersungguh-sungguh di Institusi pengajian tinggi dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama.

4. Semenjak tahun 2003, PTPTN tidak lagi menerima geran daripada kerajaan dan telah mendapatkan dana atau meminjam daripada institusi kewangan seperti KWSP, CIMB, Ambank, RHB dan Maybank melalui pinjaman jangka panjang dan penerbitan Sukuk untuk tujuan pemberian pinjaman kepada peminjam PTPTN. PTPTN telah dikenakan faedah sehingga 5% atas jumlah dana yang telah diperolehi. Peminjam PTPTN pula tidak dikenakan sebarang bayaran mahupun kos bagi menampung faedah tersebut. Dalam erti kata lain faedah pinjaman tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh PTPTN dan bukan peminjam.

5. Walau bagaimanapun, masih terdapat peminjam yang tidak mengambil peluang untuk bertukar daripada pembiayaan konvensional kepada pembiayaan Ujrah. Oleh itu, setiap peminjam perlu bijak mengambil peluang bertukar kepada pembiayaan Ujrah 1% kerana ianya memberikan penjimatan sehingga hampir separuh kos pinjaman sebelum ini. Semua pinjaman konvensional yang belum membuat pertukaran kepada pembiayaan Ujrah adalah layak membuat pertukaran termasuk peminjam yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.

6. Di Malaysia, sekalipun yuran pengajian dikenakan kepada pelajar tetapi Kerajaan telah memberikan subsidi sehingga 95%. Sebagai contoh, kos program pengajian perubatan di IPT awam sebelum subsidi adalah sebanyak RM166,000 tetapi pelajar hanya perlu membayar sebanyak RM9,000 sahaja.

7. Negara maju di dunia juga telah mengenakan yuran pengajian di IPT awam antaranya United Kingdom, Ireland dan banyak lagi. Falsafah di sebalik pembayaran yuran pengajian sebenarnya adalah sebagai tanda penghargaan kepada nilai keilmuan dan meletakkan nilai pengajian tinggi pada tempatnya.

8. Kesedaran dan budaya perkongsian kos pengajian antara kerajaan dan masyarakat khususnya mereka yang mendapat kemudahan pembiayaan perlulah difahami bagi mengubah persepsi daripada bebanan kepada perkongsian tanggungjawab.

Dato’ Shamsul Anuar bin Hj Nasarah
Pengerusi
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
12 April 2016