PTPTN: Masih ramai liat bayar
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2013
Share on facebook Share on twitter Share on google_plusone_share More Sharing Services
2

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah

PADA pertengahan tahun 1990-an, hanya 27,000 pelajar yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Apabila ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ia membolehkan seramai 227,000 pelajar untuk masuk universiti.

Jumlah ini semakin bertambah setiap tahun sehingga jumlah peminjam PTPTN tidak kurang 200,000 setiap tahun. Dalam memberikan pinjaman mudah itu, ramai peminjam mengambil ringan untuk membayarnya sehingga memaksa badan itu menanggung beban kewangan.

Bagaimanapun bagi memudahkan pembayaran balik pinjaman kerajaan dalam Bajet 2013 lalu, kerajaan memberikan insentif diskaun sebanyak 20 peratus kepada peminjam PTPTN yang membuat bayaran penuh dan potongan 10 peratus kepada mereka yang konsisten dalam membuat pembayaran balik walaupun tidak dinafikan masih ada yang berdegil.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad, Muhammad Shamsul Abd Ghani dan juruvideo Yusrizal Yusuf Ahmad bersama Pengerusi PTPTN, DATUK SHAMSUL ANUAR NASARAH mengupas mengenai usaha yang telah dilakukan kerajaan bagi menangani masalah 40 peratus peminjam tegar yang gagal membuat apa-apa bayaran setelah tamat pengajian.

Berapa jumlah yang PTPTN peruntukkan dalam memberi bantuan pinjaman kepada pelajar?

Sehingga 31 Ogos 2013, seramai 2.2 juta pelajar telah menikmati pinjaman yang berjumlah RM50.9 bilion. Daripada jumlah itu RM 30.6 bilion telah selesai diberikan kepada pelajar manakala bakinya masih dalam komitmen PTPTN melalui pembayaran setiap semesta.

Berapa ramai peminjam yang mengambil peluang diskaun 20% bayaran penuh?

Berlaku peningkatan yang mendadak selepas kerajaan mengumumkan Bajet 2013 dengan memperkenalkan diskaun 20% kepada peminjam yang membuat pembayaran penuh.

Bagi tempoh 1 Oktober 2012 hingga 31 Ogos 2013, seramai 57,210 peminjam membuat bayaran penuh dengan kos RM444 juta. Daripada jumlah pembayar itu, PTPTN telah memberi diskaun sebanyak RM88.8 juta.

Daripada jumlah itu, ada atau tidak peminjam tegar yang tidak pernah membuat bayaran balik?

Satu perkembangan positif daripada usaha yang diperkenalkan kerajaan. Seramai 3,384 peminjam yang pernah di senarai hitamkan telah mengambil kesempatan ini dengan jumlah pembayaran semula sebanyak RM27 juta.

Menjelang tempoh diskaun yang bakal tamat pada 30 September ini, apa yang datuk harapkan?

Saya percaya budaya ‘last minit’ yang selalu masyarakat kita gunakan. Saya yakin jumlah pembayaran sedia ada akan meningkat dalam tempoh dua minggu ini. Saya menyeru kepada peminjam, gunakanlah kesempatan yang ada kerana tawaran ini berbaloi. Manakala mereka yang konsisten dengan membayar secara bulanan akan menerima diskaun 10 peratus.

Berapa jumlah peminjam tegar yang direkodkan PTPTN?

Seramai 454,036 peminjam tegar dikenal pasti. Mereka ini tidak pernah buat apa-apa pembayaran. Dianggarkan hutang tertunggak melalui penghutang tegar ini adalah RM3.51 bilion. Daripada jumlah ini kita boleh memberi manfaat kepada 135,765 pelajar baru jika dianggarkan RM24,000 bagi setiap seorang pelajar.

Ada pihak yang menganggap PTPTN seperti institusi kewangan yang mengenakan kadar faedah tinggi hingga memberi beban kepada peminjam, komen Datuk?

PTPTN yang diluluskan pada 1996 merupakan satu badan yang menyediakan kemudahan kepada pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Ia merupakan satu kemudahan dan bukan pula sesuatu yang membebankan seperti yang dikata.

Ini kerana kita hanya mengenakan caj pengurusan satu peratus sahaja. Kami sebuah badan yang mesra pelanggan, jangan takut untuk datang kepada kami. Jika kita masih ingat, kalau dahulu ada anak-anak kita yang dapat melanjutkan pelajaran, ibu bapa sanggup bergolok gadai semata-mata untuk menghantar anak ke universiti.

Setelah adanya PTPTN, perkara sedemikian boleh dikatakan jarang lagi berlaku kerana PTPTN sedia memberi bantuan pinjaman kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

Bagaimana dengan dakwaan ramai yang takut berurusan dengan PTPTN kerana bimbang akan terbeban dengan bayaran balik pinjaman?

Jangan takut, seperti mana program yang kami anjurkan ‘PTPTN dekat di hati’, begitulah mesranya kami dengan peminjam. Kami bersedia dan sentiasa terbuka untuk mendengar masalah yang dihadapi bagi membolehkan peminjam faham apa yang perlu mereka lakukan.

Pegawai kami juga akan membantu untuk membuat penstrukturan bayaran semula. Kita akan bincang kaedah terbaik yang tidak membebankan peminjam. Selain itu, ia sekali gus tidak akan merugikan serta tidak menjejaskan peluang orang lain yang ingin melanjutkan pelajaran.

Pembayaran balik yang kami berikan adalah serendah RM80. Kami mahu peminjam merasakan PTPTN dekat di hati mereka.

Baru-baru ini, heboh di media dan laman sosial mengecam tindakan PTPTN yang mahu meletakkan peminjam tegar dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS), Adakah pihak PTPTN masih mahu meneruskan hasrat tersebut?

Kita hormat pada keputusan jemaah menteri untuk tidak meneruskan CCRIS. Bagaimanapun, kontroversi itu memberi impak yang baik kepada kami apabila ramai yang menghubungi PTPTN untuk mengetahui baki pinjaman dan berminat untuk berbincang membuat pembayaran balik. Talian hotline kami juga mendapat panggilan tinggi.

Apakah nasihat Datuk kepada peminjam PTPTN?

Saya berharap para peminjam memikirkan nasib orang lain. Setelah kita mendapat nikmat daripada pembiayaan itu, dan memperoleh pekerjaan yang di idamkan, kita lupa untuk menunaikan tanggungjawab.

Kami bukan ‘ah long’ atau bank yang mengenakan faedah tinggi. Bertanggungjawablah dan berilah peluang orang lain merasai nikmat yang sama, kerana ramai ibu bapa di luar sana mahu anak-anak mereka juga dapat belajar dengan tenang dengan bantuan pinjaman yang diberikan.

Apakah usaha yang dilakukan PTPTN untuk peminjam melunaskan tanggungjawab mereka?

Kami bekerjasama dengan banyak pihak seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), institusi kewangan dan sebagainya dalam memberi ruang untuk peminjam membuat bayaran balik dengan lebih muda.

Selain itu kita sering adakan program di peringkat universiti dan paparan di media massa dan elektronik. Dari semasa ke semasa kami melakukan kajian untuk memastikan ada penambahbaikan dilakukan untuk kepentingan negara.

Mereka yang mendapat Ijazah Kelas Pertama dikecualikan membayar pinjaman PTPTN, adakah PTPTN berhasrat untuk memberi pengecualian itu kepada penerima Ijazah Kelas Kedua?

Perkara itu tiada dalam perancangan kami. Tetapi pada pandangan saya, apa ditetapkan itu sejajar dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan daya saing para pelajar untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajian mereka.

Jika kita beri kepada mereka yang mendapat Ijazah Kelas Kedua, dikhuatiri akan menjejaskan kualiti pendidikan negara. Setakat ini seramai 19,017 orang dengan kos RM500 juta pengecualian telah diberikan. Oleh itu pelajar perlu tanamkan dalam diri untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang untuk rebut peluang ini.

Sebagai salah seorang pemimpin Umno, apa pandangan datuk tentang Pemilihan Umno yang akan diadakan pada bulan hadapan?

Pemilihan Umno kali ini amat penting. Penting bukan hanya kerana ahli hendak memilih pemimpin untuk parti. Lebih penting proses yang Umno lakukan ini akan mempengaruhi tahap sokongan rakyat. Rakyat akan melihat apa yang akan berlaku, maknanya bukan saja ahli Umno yang menilai, rakyat juga menilai.

Parti pembangkang juga memerhati dan sudah tentu mereka harapkan sesuatu yang buruk berlaku dan memberikan keuntungan kepada mereka. Maknanya, jika UMNO berjaya mengharungi proses pemilihan ini dengan baik dan sempurna maka ia akan memberi kelebihan kepada Umno di PRU14 nanti.

Justeru itu, saya harap ahli dan pemimpin di semua peringkat menyedari keadaan ini. Kita mesti melaksana proses demokrasi dalam parti kali ini dengan memperlihat kematangan kita yang tinggi.

Saya harap isyarat yang rakyat berikan dalam PRU13 juga diterjemahkan melalui proses pemilihan kali ini termasuk menyegar dan meremajakan Umno serta menyediakan pemimpin pelapis yang diyakini oleh rakyat dan ahli parti.

Rakyat akan terus bersandar kepada kita jika kita lakukannya dengan sempurna dan baik. Harapan saya jangan kita melakukan kesilapan ketika kita mengamalkan demokrasi dalam parti.

Datuk sendiri difahamkan akan bertanding sebagai MT Umno, apa sebenarnya sasaran datuk dalam memperkukuhkan Umno itu sendiri?

Saya harapkan agar saya diberikan peluang bersama membantu Presiden dan pimpinan parti yang lain menjayakan pelbagai perubahan yang sedang dan akan dibuat olehnya. Saya sedar cabaran di hadapan Umno semakin hebat.

Umno mesti berkeupayaan menjadi parti yang kuat dalam menjayakan agenda dan matlamat parti. Umno mesti menjadi parti terkuat khususnya kepada orang Melayu dan rakyat keseluruhannya. Umno mesti memenangi hati semua peringkat dan golongan, dan kita mesti berada di tengah-tengah semua golongan ini.

Justeru, saya ingin membantu parti supaya kita terus diterima dalam PRU14. Saya harap saya dapat juga membantu menarik golongan pertengahan dan golongan muda di pelbagai peringkat kerana saya punyai sedikit pengalaman dengan mereka.

Saya yakin jika perjuangan parti disesuaikan dengan pelbagai cara dan pendekatan, Umno akan dilihat hebat.

Banyak pendapat mengatakan, nama-nama besar dalam Umno perlu berundur dan memberikan ruang kepada wajah baru yang lebih muda, lantang, sesuai dengan budaya politik semasa, apa pandangan datuk?

Saya setuju, muka baru perlu diberikan peluang. Namun, yang paling penting pemimpin yang hendak kita bariskan dalam kepimpinan UMNO ialah mereka yang berkeupayaan menjayakan agenda parti dan negara. Dalam keadaan suasana dan persekitaran serta tuntutan sudah jauh berubah, kita mesti bariskan mereka yang memahami semua ini.

Dalam kita berikan peluang kepada golongan muda untuk diketengahkan, nama-nama besar dalam Umno yang penting dan punyai pengaruh kuat mesti terus diberikan peranan. Maknanya, gabungan tenaga muda dan berpengalaman ini mesti diadun dan digandingkan dengan sempurna.

Adakah dengan cara ini sahaja, Umno dan BN dapat meremajakan parti, memandangkan ia kurang mendapat sambutan di kalangan generasi muda pada PRU yang lalu?

Hakikatnya generasi muda Melayu masih bersama Umno, ini dibuktikan melalui PRU13 lalu. Namun, usaha mesti terus dilakukan untuk memperkukuhkan sokongan kumpulan ini pada BN. Meremajakan parti penting dengan cara menentukan pemimpin.

Bagaimanapun, meremajakan parti bukan melalui cara ini sahaja. Ia mesti dilakukan dengan pelbagai cara yang disesuaikan dengan suasana hari ini. Kaedah ini yang sedang dilakukan oleh Umno sekarang. Cara kita memberi pemahaman mengenai agenda parti kepada orang muda, mestilah melalui gaya dan bahasa orang muda.

Semua ini saya percaya ada dalam pemikiran Perdana Menteri sebab itu beliau terjemahkan melalui program 1M4U (1Malaysia Youth For You), Saya yakin orang muda akan terus bersama Umno, kalau kita terus menjiwai kehendak, jiwa dan tuntutan mereka.

Bagaimana Datuk melihat peranan bekas Presiden Umno yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mempengaruhi pemilihan Umno kali ini?

Tun Mahathir tokoh yang berpengaruh, saya yakin beliau mahu melihat Umno terus menjadi kuat dan berpengaruh. Pandangan dan pendapatnya cukup bernas dan dihormati ramai.

Saya lihat Tun Mahathir tidak mencampuri urusan pemilihan kali ini secara langsung, beliau hanya mahu Umno terus menjadi parti dihormati. Justeru, saya harap kita terjemahkannya melalui cara memilih pemimpin yang boleh terus membawa kekuatan pada parti dan dihormati oleh semua pihak.

ARTIKEL BERKAITAN
PTPTN: Masih ramai liat bayar

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.