KENYATAAN MEDIA

Pandangan Rafizi supaya bayaran balik dibuat apabila pendapatan sebelum cukai RM4,000 merupakan pandangan yang menunjukkan bahawa beliau mengakui bahawa PTPTN penting maka menolak pandangan beliau sendiri sebelum ini yang mahu menghapuskan PTPTN. Terima kasih kerana beliau telah mengubah persepsinya terhadap PTPTN dan terima kasih kerana menyokong usaha penguatkuasaan PTPTN. Saya ingin nyatakan bahawa PTPTN menyambut baik sebarang cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak dalam usaha PTPTN memberikan perkhidmatan terbaik kepada penerima pembiayaan PTPTN, ini kerana sentiasa terbuka terhadap sebarang pandangan dan cadangan. Pada saya yang penting PTPTN terus berfungsi sebagai Pembiaya utama pendidikan di negara ini.

Cadangan yang dikemukakan oleh Rafizi adalah hampir sama dengan amalan yang dilakukan di Australia dan New Zealand. Pendekatan yang dibuat oleh negara berkenaan telah lama diteliti oleh PTPTN. Sebagai makluman PTPTN telah membuat kajian mengenai perkara ini pada 2010. Bagaimanapun selepas penelitian dibuat kaedah ini tidak sesuai untuk dilaksanakan kerana terdapat pertambahan kos sehingga 1.5% yang terpaksa ditanggung. Penambahan kos ini akan membebankan PTPTN dan PTPTN juga tidak mahu memindahkan bebanan kos tambahan ini kepada pelajar yang telah sedia menganggung kos sebanyak 1% ketika ini. Selain daripada itu PTPTN perlu membuat pindaan kepada beberapa perkara dalam akta kita disamping itu juga pindaan juga perlu dibuat terhadap akta LHDN. Oleh itu PTPTN telah membuat keputusan tidak melaksanakan kaedah ini. Namun demikian, PTPTN sedang menyiapkan beberapa cadangan baru dan ia akan diumumkan tidak lama lagi.