ISU RUMAH DI SELANGOR – Janji Tinggal Janji

ISU RUMAH DI SELANGOR – Janji Tinggal Janji

Mansuh Diskaun Tujuh Peratus Hadiah Kerajaan Negeri Untuk Rakyat Selangor

Oleh : Azman Abas
KUALA LUMPUR 14 April – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah melihat pemansuhan diskaun tujuh peratus melibatkan rumah mampu milik di bawah Skim Rumah Selangorku baru-baru ini merupakan ‘hadiah‘ terbaru kepada rakyat negeri itu khususnya Bumiputera selepas pilihan raya umum ke-13.

Sambil menjangkakan akan ada ‘hadiah-hadiah‘ lain yang akan menyusul selepas ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya menambah sepatutnya kerajaan negeri memikirkan bagaimana lagi cara meningkatkan lagi diskaun bagi mengurangkan harga rumah kerana perkara tersebut merupakan keperluan asas.

“Namun nampaknya tindakan sebaliknya dilakukan dan saya melihat ia adalah tindakan yang jelas tidak membela kepentingan golongan bawahan dan ianya lari daripada menifesto mereka yang kononnya mahu membela rakyat bawahan. Dan kerana itu saya fikir tidak mustahil di masa hadapan akan ada lagi ‘hadiah-hadiah’ lain di Selangor.

“Dan ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) peringkat persekutuan menyediakan pelbagai Skim Perumahan termasuk Skim Myhome dan sebagainya bagi membantu rakyat pelbagai golongan dan kelompok memiliki rumah, Kerajaan Selangor pula bertindak sebaliknya.

“Nampaknya mereka sekali lagi telah membuat keputusan yang tidak memberikan keuntungan kepada rakyat bawahan. Malah kalau kita lihat banyak isu lain termasuk kenaikan sewa dan lain lain sebenarnya membebankan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Menurutnya lagi, walaupun sebagai Ahli Parlimen daripada negeri berlainan, namun dirinya turut terpanggil untuk menyatakan perkara tersebut kerana ianya adalah satu perkara yang harus diperkatakan.

“Perumahan merupakan keperluan penting terutamanya di kalangan anak muda di Selangor. Kenaikan harga rumah menyebabkan golongan itu berada dalam dilema malah ianya juga amat membebankan kita semua tanpa mengira kaum dan agama.

“Setiap anak muda yang berada di Selangor sedikit sebanyak terasa dibebani dengan masalah perumahan sehinggakan ianya menjejaskan kualiti hidup mereka. Sudah tentulah tanggungjawab dan penyelesaian isu perumahan ini perlu diberikan keutamaan malah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyediakan perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan ini.

“Makanya dengan langkah penghapusan diskaun tujuh peratus ia tidak menyelesaikan masalah mereka. Ini amat menyedihkan kerana kerajaan negeri bukan sahaja mengabaikan tanggungjawab ini malah tergamak berjanji bulan dan bintang demi meraih kepentingan politik sendiri malah banyak janji hanya tinggal kenangan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Selangor memansuhkan pemberian diskaun tujuh peratus melibatkan rumah mampu milik di bawah Skim Rumah Sela¬ngorku.

Pemansuhan itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad yang memberi alasan pemansuhan dibuat berikutan harga rumah mampu milik yang ditawarkan kerajaan negeri di bawah skim berkenaan adalah lebih rendah daripada harga pasaran. -MediaUMNO

20140416-001409.jpg

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.