KENYATAAN EKORAN KEMATIAN KARPAL SINGH

KENYATAAN EKORAN KEMATIAN KARPAL SINGH

20140417-234841.jpg
Karpal lawan berpendirian dan digeruni kata pemimpin UMNO

Oleh NUR FAZREEN KAMAL
17 APR : Kematian Karpal Singh dalam kemalangan awal pagi tadi turut dirasai semua ahli parlimen dari Barisan Nasional ataupun UMNO.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan mendiang Karpal Singh seorang lawan yang digeruni.

Najib

“Dalam kerjaya selama lima dekad itu, kebolehan Karpal telah membuatkannya menjadi seorang lawan yang digeruni,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.

Menurut Najib, dalam bidang politik Karpal merupakan seorang yang berpendirian kuat, manakala dalam bidang perundangan pula beliau merupakan seorang peguam yang komited.

“Di saat yang sukar ini, ingatan kita adalah kepada keluarga mereka yang terkorban dalam kemalangan tersebut.

“Saya panjatkan ucapan takziah kepada mereka. Kami berdoa agar penumpang yang lain pulih sepenuhnya,” kata Perdana Menteri yang turut terkejut dengan pemergian bekas Pengerusi DAP dan juga tokoh pembangkang terhormat itu.

Bagi Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad meskipun sering berbeza pendapat dan berbalah di dalam sidang Dewan Rakyat namun ia tidak pernah dijadikan alasan untuk terus menanamkan perasaan benci di dalam hati apatah lagi untuk terus bermusuhan.

Beliau yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang turut berharap agar semua pihak termasuk keluarga menerima kematiannya dengan tenang.

Shahrir

“”Sememang diakui, Karpal adalah pembangkang yang mempunyai pendirian sendiri yang seringkali dibantah oleh ahli parlimen namun itulah pendiriannya,” kata ahli parlimen Johor Bharu ini.

“Walaupun kita bergaduh-gaduh berbahas di dalam parlimen takkan lah sampai kita nak timbulkan kebencian. Kalau kita marah orang dengan adanya perasaan benci itu satu sifat yang tidak elok,” katanya ketika dihubungi bnbbc.my.

Tambahnya dalam keadaan seperti ini sebagai manusia haruslah menerima kenyataan ia adalah kuasa tuhan dan janganlah mudah terperngaruh dengan hasutan dan kecaman daripada orang lain.

“Janganlah pula kita kata padan muka dan macam-macam lagi tohmahan. Harus diingat semua yang berlaku adalah atas kuasa tuhan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula meminta jangan ada pihak yang sengaja mempolitikkan kematian ahli parlimen DAP Bukit Gelugor ini.

“Tak perlulah kita berpolitik mengenai kematian ini kononya dirancang oleh pihak tertentu atau jangan ada pihak mengganggap ia perancangan pihak tertentu. Dan sebagai ahli parlimen kita harus terus melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Shamsul juga berharap keluarga Karpal bersabar dan menerima kemalangan ini sebagai satu ujian.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahatir Mohamad menyifatkan meskipun Karpal berpegang pada ideologi politik yang berbeza namun bekas Pengerusi DAP ini banyak menyumbang kepada negara.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.