KENYATAAN MEDIA ISU POTONGAN GAJI KAKITANGAN AWAM

KENYATAAN MEDIA ISU POTONGAN GAJI KAKITANGAN AWAM

“ISU PELAKSANAAN POTONGAN GAJI MANDATORI PENJAWAT AWAM BAGI BAYARAN BALIK PEMBIAYAAN PTPTN”

1. Saya memahami maksud dan menghormati pendirian  yang dikeluarkan oleh Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 23 Disember 2015 berhubung langkah pemotongan gaji mandatori yang dilaksanakan PTPTN. Walau bagaimanapun, saya ingin mengulangi kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh PTPTN pada 17 Disember 2015 yang lalu bahawa PTPTN telah pun mengumumkan akan mengembalikan semula amaun potongan setelah ditolak ansuran bulanan berdasarkan jadual bayaran balik semasa kepada 3,193 peminjam. Pendirian ini dibuat setelah PTPTN mengambil pandangan pelbagai pihak terutama rayuan peminjam sendiri. Namun ini bukan bermakna PTPTN tidak konsisten dalam melaksana peranan serta fungsinya.

2. Bagaimanapun, peminjam terlibat digesa tampil atau datang segera berunding dengan PTPTN dalam tempoh selewat-lewatnya pada 18 Januari 2016. Sekiranya peminjam yang terlibat gagal berunding dalam tempoh masa yang ditetapkan, jumlah ansuran potongan gaji mandatori yang dinyatakan di dalam surat tersebut akan dikenakan semula kepada peminjam. Langkah ini TERPAKSA DILAKUKAN kerana jumlah wang yang tidak dibayar oleh kumpulan ini agak tinggi dan ia perlu dikutip bagi PTPTN memberikan pula pinjaman berkenaan pada pelajar yang lain dan ada kemungkinan wang tersebut boleh dimanfaatkan oleh anak-anak penjawat awam yang lain.

3. Saya berkeyakinan masalah peminjam akan diselesaikan jika datang bertemu PTPTN. Ini kerana pelbagai kaedah boleh dilakukan dan satu darinya, peminjam yang terlibat boleh membuat penstrukturan semula hutang dengan amaun ansuran berasaskan kemampuan bagi tempoh tidak melebihi umur 60 tahun, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Jumlah ansuran bayaran balik baharu boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada gaji dan umur peminjam. Jadi, peminjam dinasihatkan untuk membawa bersama slip gaji bagi memudahkan proses rundingan. Justeru, ia tidak akan membebankan sekiranya peminjam dapat hadir berunding dan menstrukturkan semula hutang mereka.

4. Sebenarnya, PTPTN sentiasa bersikap mesra pelanggan dan bersedia berunding bagi menyelesaikan masalah peminjam. Oleh itu, PTPTN turut menyediakan kaunter di UTC dan pusat-pusat membeli-belah yang boleh dikunjungi di luar waktu pejabat atau peminjam boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN pada bila-bila masa dan berjumpa di mana sahaja mengikut kesesuaian peminjam. Maklumat kaunter PTPTN dan nombor telefon Eksekutif Pemasaran PTPTN boleh disemak di portal rasmi PTPTN.

5. Suka saya nyatakan, pihak saya tidak mengambil kesempatan atau menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dalam melaksanakan tanggungjawab. Semua tindakan PTPTN dibuat berasaskan kepada nasihat, kajian dan pandangan pelbagai pihak termasuk dalam isu-isu tertentu merujuknya kepada kementerian berkaitan malah sesuatu polisi yang hendak dilaksanakan juga ada yang perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri. Dan dalam hal ini sebenarnya, pada 9 Julai 2015 yang lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan arahan agar  penjawat awam melaksanakan bayaran balik melalui potongan gaji mulai 1 September 2015. Arahan ini melibatkan lebih 138,000 penjawat awam yang merupakan peminjam PTPTN. Seterusnya, PTPTN telah mengeluarkan surat arahan potongan gaji mandatori bertarikh 4 Disember 2015 kepada majikan dan diberi salinan kepada 3,193 peminjam yang merupakan penjawat awam dan tidak pernah membuat bayaran balik dan gagal tampil berunding.

6. Langkah pelaksanaan potongan gaji mandatori ini juga adalah antara langkah terakhir apabila pelbagai usaha telah gagal dilakukan. Oleh itu, saya percaya PTPTN boleh menyelesaikan masalah penjawat awam yang culas membayar balik pembiayaan PTPTN dan sekali gus dapat membantu lebih ramai lagi anak-anak penjawat awam dan swasta lain yang memerlukan pembiayaan PTPTN. Saya berharap CUEPACS boleh bersama-sama membantu dan menyokong usaha PTPTN.

YB DATO’ SHAMSUL ANUAR BIN HJ NASARAH
Pengerusi
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
23 Disember 2015

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.