MENCADANG USUL TITAH DI RAJA Oleh MP Lenggong

MENCADANG USUL TITAH DI RAJA Oleh MP Lenggong

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL PERTAMA MAJLIS PARLIMEN KE-13
UCAPAN PENCADANG USUL MENJUNJUNG KASIH KE ATAS TITAH DIRAJA
( Tarikh : 26 Jun 2013 Di Dewan Rakyat @ Parlimen Malaysia )
Oleh : YB Dato’ Shamsul Anuar Hj Nasarah
Ahli Parlimen Lenggong 

Tuan Yang Dipertua,
Dengan ini saya, Dato’ Shamsul Anuar Hj Nasarah, Ahli Parlimen bagi kawasan Lenggong, memohon untuk mencadangkan Usul Menjunjung Kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,    Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah , kerana sudi berangkat menyampaikan Titah Ucapan di Persidangan Penggal Pertama Parlimen Ketiga Belas pada hari Selasa, 25 Julai 2013 lalu, Usul saya adalah seperti yang berikut:
Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, demikian bunyinya :
“Ampun Tuanku,
Patik, Yang Dipertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Tuanku semasa membuka Penggal Pertama Parlimen Yang Ketiga Belas. Amat baik dan bermakna sekali.
Tuan Yang Dipertua,
Izinkan saya terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana telah dipilih sebagai Yang DiPertua Dewan yang mulia ini. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Timbalan-timbalan Yang Dipertua yang turut telah dipilih oleh Dewan.

Pada 5 Mei  yang lalu, rakyat Malaysia berbilang kaum telah menggunakan hak mereka untuk memilih 222 Ahli-ahli yang Berhormat di Dewan yang Mulia ini. Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli-ahli yang berhormat yang terpilih, dan berharap kita akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur ikhlas dan senantiasa menunjukkan tingkah laku yang baik seperti disaran dalam Titah Ucapan Tuanku. Sudah tentu PRU Ke 13  lalu, rakyat bukan sahaja telah memilih dan mengembalikan Barisan Nasional (BN) untuk terus memimpin Kerajaan Malaysia, pada masa yang sama, mereka juga telah menterjemahkan, harapan dan hasrat melalui undi mereka. Isyarat, daripada keputusan pilihanraya lalu saya cukup yakin telah difahami oleh pucuk pimpinan Kerajaan Barisan Nasional.
Dan sebagai ahli ahli Yang Berhormat, saya harap kita juga perlu prihatin dan mengambil berat tentang pelbagai mesej yang dihantar oleh rakyat kepada kita. Apa yang penting, saya berkeyakinan harapan rakyat ialah pemimpin politik dan penjawat jawatan awam di semua peringkat perlu mempunyai keterbukaan, keikhlasan, kecekapan, bersih dan berintegriti serta senantiasa bersungguh-sungguh menjaga kepentingan semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Kita mestilah bekerja keras ke arah membawa pelbagai perubahan kepada rakyat dan memberi gambaran bahawa kerajaan senantiasa bersedia mendengar rintihan, suara hati rakyat dan melakukan pelbagai tranformasi demi masa depan negara tercinta ini secara amnya dan untuk masa depan generasi akan datang, umumnya.
Tuan Yang Dipertua,
BARISAN NASIONAL DITERIMA RAKYAT
Saya juga ambil kesempatan di dewan yang mulia ini, ingin merakamkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri  kerana sekali lagi diberi mandat oleh majoriti rakyat dalam negara ini.  Barisan Nasional, UMNO dan parti Komponen Barisan Nasional yang lain adalah parti yang banyak jasanya kepada rakyat. Keikhlasan BN berjuang sejak sekian lama , memajukan rakyat dan negara ini, dalam pelbagai bidang: ekonomi, pendidikan, basmi kemiskinan membuat pelbagai perubahan dan sebagainya saya yakin menjadi penyebab mengapa BN terus diyakini. Dan terus diberikan mandat memerintah. Justeru itu, walau PRU13 mencatat sejarah paling mencabar pernah BN lalui, tetapi sokongan rakyat tetap BN berolehi. Kerana apa ? Ini kerana pemimpin dan kerajaan BN ; ikhlas, jujur, dipercayai dan sebagainya. Dan pentingnya, “ Barisan Nasional adalah parti yang berpeggang pada konsep “ Janji Di Tepati “ Oleh itu, sekalung tahniah saya rakamkan kepada YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri atas kejayaan penuh bermakna ini.

Justeru dalam dewan yang mulia ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada majoriti rakyat yang terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional. Ini jasa rakyat yang amat besar kepada kerajaan. Sudah tentu sebagai balasan diatas sokongan ini tentunya Barisan Nasional akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat secara keseluruhannya. Serta saya yakin segala janji yang diungkap akan dilaksanakan.
Tan Sri, Yang Di Pertua,
HORMATI INSTITUSI DI RAJA.
Institusi diraja merupakan tonggak negara yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua rakyat negara ini tidak kira apa pandangan politik, kaum dan agama. Institusi  ini adalah lanjutan sistem pemerintahan beraja yang wujud di Tanah Melayu sebelum zaman penjajahan lagi. Ia merupakan warisan peradaban yang berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan dengan cabang Parlimen, eksekutif dan kehakiman menjalankan tugas masing-masing dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Melalui sistem inilah kita mampu membina negara hingga ke tahap ini sekarang.
Namun sistem yang berjalan baik dan diterima secara hakiki oleh generasi terdahulu hingga ke hari ini, mula dikritik oleh golongan tertentu kononnya  atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara. Ini amat merbahaya dan ianya tidak boleh diterima sama sekali.  Sebagai pemimpin dan rakyat di negara bertuah ini, marilah kita pelihara  institusi  ini, kerana  selama ini ia, menjadi payung kepada seluruh rakyat negara yang berbilang kaum dan agama. Kita berkewajiban memperkukuhkannya, dan menjadikannya tiang kepada keamanan, kehormonian rakyat dalam negara ini. Dan kita,  serta semua tidak boleh sama sekali mengheret institusi diraja dalam kancah politik dengan emosi tidak terkawal.
Justeru demi keharmonian dan perpaduan rakyat dalam negara ini. , saya menyeru kerajaan supaya melakukan usaha menyekat perkara yang tidak melok ini. Ini kerana kritikan yang bertujuan menghina, merendah-rendahkan martabat raja tidak boleh diterima sama sekali. tindakan Golongan ini yang cuba mengajak rakyat  memandang serong , dan menghina  institusi ini  sebenarnya  boleh menggugat keamanan yang dikecapi hingga hari ini. 

Sebenarnya, kalau kita lihat di beberapa negara lain, misalnya Undang-undang di bawah Artikel 112 Thailand melibatkan undang-undang yang dinamakan lese majeste. Di bawah undang-undang lese majeste, mana-mana individu yang membuat kenyataan atau komen berbaur fitnah atau penghinaan ke atas konstitusi monarki Thailand termasuk raja, permaisuri dan kerabat diraja boleh dikenakan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun. Majoriti rakyat Thailand menyanjungi konstitusi monarkinya serta menerima undang-undang lese majeste, walaupun Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat ia sebagai satu bentuk penindasan demokrasi. Pihak-pihak berideologi Barat menyifatkan undang-undang konvensional itu sebagai penghalang kepada perkembangan demokrasi di Thailand dan negara-negara di sekitar Asia.
Biarpun negara-negara Barat menyifatkan lese majeste amalan Thailand satu bentuk undang-undang tidak relevan, hakikatnya terdapat empat negara Eropah yang masih menguatkuasakan undang-undang itu iaitu Denmark, Belanda, Norway dan Sepanyol. Hak kebebasan bersuara yang diperjuangkan mereka juga sebenarnya masih perlu berpandukan keterbatasan terhadap sesuatu perkara terutamanya hal-hal melibatkan konstitusi monarki. Belanda, misalnya, pernah menahan seorang wartawan dan jurugambar majalah Spunk pada tahun 2007 atas kesalahan menghina mantan ketua negara mereka, Ratu Beatrix. Kedua-duanya didapati bersalah kerana memakai baju-T dengan tulisan tidak sopan yang merujuk terus kepada Beatrix.
Sepanyol juga pernah mendenda dua kartunis majalah El Jueves pada tahun 2007 dengan jumlah denda 3,000 euro (RM12,141) setiap seorang. Dua individu itu didapati bersalah di bawah undang-undang lese majeste selepas menyiarkan karikatur Putera Asturias bersama isterinya dalam keadaan tidak sopan. Di Asia Barat, Kuwait dan Jordan merupakan dua negara yang masih memiliki undang-undang lese majeste. China, Jepun dan United Kingdom (UK) juga pernah mempunyai lese majeste, manakala Jepun dan UK yang masih mengekalkan sistem beraja menggunakan undang-undang baharu.

Malaysia tidak terkecuali dihambat isu berkaitan penghinaan ke atas sistem beraja apabila lahirnya individu yang berfikiran liberal secara melampau. Baru-baru ini negara dikejutkan dengan tindakan berani beberapa orang wanita yang mengeluarkan komen berbaur sindiran terhadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda. Ekoran kenyataan itu, mereka ditahan pihak polis bagi membantu siasatan dan telah pun dibebaskan selepas memberi keterangan. Ini satu daripada banyak lagi yang kita dapati perlakuan dan komen yang jika tidak dikawal boleh merosakkan institusi yang disanjung tinggi sejah sekian lama ini. Justeru kerajaan mesti bertindak segera dengan menggunakan undang undang sedia ada atau jika ada kelemahan dari segi undang undang atau penguatkuasaan ianya perlu segera diperbaiki dan ditambahbaik. Atau kerajaan secara serius boleh melihat cadangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, yang mencadangkan kerajaan penggubalan undang-undang khas mengenai kesalahan menderhaka kepada Raja. Apa yang mustahak demi keutuhan Institusi Raja, tindakan tegas mesti dilakukan kepada pihak pihak yang sengaja menghina institusi ini.
Tuan Yang Di Pertua,
KEBEBASAN BERSUARA RAKYAT MALAYSIA.
Kita kena bersyukur. Malaysia adalah negara yang mengamalkan kebebasan bersuara. Sebab itu, secara peribadi saya menyokong langkah kerajaan tidak mencontohi Singapura dalam mengawal kebebasan media social dalam negara ini. Bagaimanapun jika sesuatu tidak dilakukan ia juga mampu mengundang sesuatu yang buruk kepada kepada negara, kerana didapati pelbagai maklumat berbentuk fitnah, adu domba, menghina dan sebagainya dilakukan oleh sesetengah pengamalnya.
Justeru walaupun kerajaan tidak bercadang melesenkan sebarang portal berita internet, kerajaan mesti melakukan sesuatu bagi membendung mereka yang menyalahguna kebebasan bersuara dan demokrasi yang ada. Kebebasan bersuara bukan bermakna kita oleh menyatakan apa saja, apatah lagi yang menyalahi undang undang. Dan walaupun kita terikat dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet, tetapi fikirlah harga keamanan, perpaduan rakyat, keluruhan perlembagaan lebih penting daripada yang lain.
Semua ini bertepatan dengan saranan Yang Di Pertua Agung dalam Titah Baginda yang menyeru supaya semua kita menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta sentiasa memelihara, melindungi, dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Dan jangan melakukan sesuatu yang boleh memusnahkan negara
Tan Sri Yang Di Pertua,
Baru-baru ini, YB Menteri Komunikasi dan Multimedia, dilaporkan berkata kerajaan akan melihat peraturan Internet di tiga buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Australia dalam usaha membendung penyalahgunaan media sosial di negara ini. Di Amerika Syarikat misalnya, walaupun rakyat bebas bersuara baik di alam maya dan realiti, namun masih terikat dengan pelbagai akta yang menjaga dan melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta Buli dan Pencerobohan Privasi. Sebab itu kebebasan bersuara perlu disertai rasa tanggungjawab termasuk bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.
Internet di Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set undang-undang di sebalik ia mengamalkan kebebasan bersuara terhadap persekutuan dan negeri. Pihak berkuasa boleh merampas domain profil pengguna dan komputer tanpa notis dan mampu menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan operasi.
Di Australia, kandungan Internet dikawal selia Australian Communications and MediAuthority (ACMA) yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan sekatan pada kandungan Internet dalam negara. Pihak berkuasa negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis perisiannya. Tumpuan sekatan terutama kepada pornografi kanak-kanak, keganasan seksual, dan aktiviti haram lain yang dilakukan hasil proses aduan pengguna.

Di Britain pula penapisan Internet termasuklah menyekat akses kepada laman web, menguatkuasa undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan bahan tertentu, termasuk, fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan pornografi kanak-kanak. Internet Watch Foundation (IWF) ditubuhkan untuk menyusun dan mengekalkan satu senarai hitam, terutamanya URL pornografi kanak-kanak, maka 98 peratus daripada pelanggan Internet komersil di negara itu ditapis.
Sebab itu diharap kerajaan memberikan perhatian mengenai isu ini. Kebebasan memang perlu diberikan kepada rakyat, tetapi apa makna kebebasan jika ianya merosak dan menghancurkan negara. Maka, di dewan yang mulia ini, saya mohon agar kerajaan merangka Undang-Undang Penyalahgunaan Media Sosial. Ia perlu bagi tujuan KEBEBASAN dengan TANGGUNGJAWAB atau menyatakan apa langkah kerajaan menanggani isu ini. Yang pasti kerajaan mesti mencari jalan penyelesaian kepada penyalahgunaan media sosial dan Internet melalui undang-undang baharu atau mengemaskini undang-undang sedia ada.

SURUHANJAYA PILIHANRAYA MALAYSIA ( SPR )
PRU13 telah membuktikan Malaysia, sekali lagi mengamalkan sistem demokrasi yang baik sebagaimana diperuntukan oleh undang undang. Kekalnya Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan serta kemenangan 89 kerusi parlimen oleh PAS, DAP dan PKR adalah bukti amalan demokrasi kita berjalan dengan baik, dan sempurna. Ini lebih membuktikan bahawa kerajaan tiada campur tangan dalam menentukan keputusan pihanraya lalu. Malah saya lebih yakin, walaupun kedengaran sebelum ini bagaikan “ Ribut Besar Bakal Melanda Negara “ namun apabila Permatang Pauh sendiri mengetuai rakannya mengangkat sumpah pada 24 Jun 2013 lalu.
Maka, ia dengan sendirinya membuktikan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia ( SPR ) dan Proses PRU Ke13 lalu diktiraf serta berjalan dengan betul. Justeru itu, jangan  kita bersikap “ double standart “ dengan izin, apabila kemenangan berpihak kepada kita, maka kita iktirafnya. Bila kalah sebaliknya sikap kita. Ini tidak betul dan tidak memperlihatkan kematangan kita.
Kesian yang berhimpun diluar sana ….Tuan Yang Di Pertua – Saya bertanya kepada anak anak muda yang berhimpun ( sewaktu keluar dari ) – a. Bro darimana POKOK SENA, b. Bro dari mana IPOH BARAT, saya tanya lagi kumpulan lain. Bro dari mana … huhh terkejut saya dia jawab …. DARI SURABAYA….. PAK !!!!!! Rupanya Indon pun ada …( agaknya pasal itulah Permatang Pauh ke Jakarta baru baru ini ) . Saya tidak puashati … tanya pulak kumpulan lain.. Bro mana mari …. BALING kaa… . taraq bang kita Bangla juga mariiii..oooo disini rupanya hang dikata 40 ribu bangla..
Sebab bila kita semak …tidak ada pertisyen PRU dibuat kerana pengundi dari Bangla …. memang tak ada …
Kerana itu, dalam apa keadaan sekalipun, semua pihak mesti menjunjung dan menghormati keluhuran perlembagaan negara kita. Jika kita membelakangkan undang undang. Pasti kita menjuruskan negara ini ke arah kemusnahan. Semua pihak boleh membantah atau mempertikaikan keputusan pilihanraya. Perkara ini memang dibenarkan. Namun ianya mesti melalui saluran yang dibenarkan.Yakni melalui undang undang yang dirangka dan diluluskan oleh dewan yang mulia ini. Jangan kerana gagal merampas kerajaan. Cita cita tersekat di tengah jalan, maka semua kita belakangkan, undang undang dan proses sepatutnya di kesampingkan.

Ini sesuatu yang amat tidak baik. Kerana apa ? ,  Kerana harga keamanan, kemajuan ,  kemakmuran, perpaduan rakyat dinikmati selama ini amat besar nilainya untuk dikorbankan. Justeru, nasihat saya kepada pihak pihak yang berkenaan. Terutama yang beragama Islam, percayalah dengan kuasa Allah S.W.A. Semuanya Allah yang tentukan, sebab itu sebagai hambaNya kita mesti mempercayai semua ini.
Ini bertepatan dengan saranan dalam Titah Ucapan Yang Di Pertuan Agung yang antara lain , menyeru semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ketiga Belas yang baginda sifatkan telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi dan seterusnya baginda meminta semua kita bekerjasama serta berganding bahu bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat Negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Maka, di Dewan yang mulia ini saya harap proses pembaharuan dan penambahbaikan terus dilakukan. Dan saya menyokong penuh usaha kerajaan meletakkan Suruhanjaya Pilihanraya di bawah parlimen. Ini suatu langkah yang berani dan bijak serta memperlihatkan kematangan, keterbukaan Kerajaan Barisan Nasional.
Kepada rakan rakan di sebelah sana , hormatilah keputusan yang telah rakyat lakukan. Cukuplah berpolitik, saya yakin Barisan Nasional di negeri negeri yang diperintah PR akan menjadi pembangkang yang baik dan bertindak sebagai ejen “ check and balance “ saya harap rakan rakan di sebelah sana juga bersikap sebegini. Ruang sebaiknya perlu diberikan kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk mentadbir sesuai dengan mandate yang diberikan rakyat. Saya yakin rakyat mahu melihat hasil daripada pelbagai program yang telah dilakukan sebelum PRU Ke 13 dan program seterusnya pada masa ini. Justeru itu jangan kita bazirkan masa untuk membela nasib rakyat yang memilih kita.

INI MASA BEKERJA UNTUK RAKYAT
Tuan Yang Di Pertua.
Melihat kepada pencapaian kerajaan. Saya ingin ambil apa yang disebut oleh Tuanku Yang Di Pertuan Agung dalam Titah Ucapannya; saya petik “ Kedudukan daya saing Malaysia di peringkat global meningkat lebih baik seperti dilaporkan oleh Kajian Bank Dunia Bagi Kemudahan Menjalankan Perniagaan Tahun 2013 di mana Malaysia disenaraikan negara ke -12 paling Mesra Perniagaan dan menduduki tangga ke 10 sebagai destinasi Pelaburan Langsung Asing tahun 2012. Laporan Tahunan Bagi Daya Saing Dunia oleh IMD bagi tahun 2012 pula mengiktiraf Nalaysia Negara paling berdasa saing di kalangan 30 negara dengan keluaran dalam Negara kasar per kapita kurang daripada UDD 20,000. Manakala di kalangan Negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua disamping tangga ketujuh di dunia dari segi pencapaian ekonomi “
Ini adalah pencapaian amat membanggakan oleh Kerajaan Barisan Nasional pimpinan YAB Perdana Menteri dari Pekan. Malah Prestasi FBM KLCI mencatat paras tertinggi iaitu 1788.4 mata pada 14 Mei 2013, ini dilengkap lagi apabila Kerajaan BN berjaya menarik pelaburan diluluskan RM49.3 Bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2013. Ini amat membanggakan. Justeru itu sepatutnya, inilah masa kita tanpa mengira latarbelakang politik bekerja untuk rakyat demi membangunkan negara ini. Pilihanraya telah berlalu, dan kalau kita selalu bercakap berkaitan politik matang, inilah masanya. Marilah kita bekerja untuk membalas jasa yang rakyat berikan melalui undi mereka. Saya amat yakin Janji @ Akurjanji BN kepada rakyat akan ditunaikan oleh Kerajaan BN kerana berdasarkan tread rekord setiap yang BN janjikan pasti ditunaikan oleh YAB Perdana Menteri.Tuan Yang Di Pertua,

KEJAYAAN PROGRAM TRANFORMASI NASIONAL.
Lihatlah …Sejak YAB Perdana Menteri, mengambil alih pimpinan negara ini pada 2009, pelbagai perubahan dan tranformasi telah dilakukan. Program Tranformasi Kerajaan ( GTP ) dan Program Transformasi Ekonomi ( ETP ) selanjutnya Program Transformasi Politik ( PTP) dan Program Transformasi Sosial ( PTS ) yang semua ini telah membentuk Dasar Transformasi Nasional telah dilakukannya. Ini bagi memacu Malaysia ke arah pencapaian wawasan kebangsaan, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, menjelang 2020. Dan walaupun berlaku ketidaktentuan persekitaran global termasuk Krisis Hutang di Eropah yang secara tidak langsung memberi kesan pada ekonomi Negara.
Namun berkat kerjasama semua pihak sebahagian besar matlamat yang telah dirancang berjaya dicapai. Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin makmur manakala keadaan kewangan kerajaan terus subur dan Malaysia berada dilandasan betul untuk menuju Negara maju. Pencapaian bukan sahaja membuktikan iltizam kerajaan terhadap falsafah pemandu negara “ 1Malaysia: Rakyat Didahuluka. Pencapaian Diutamakan “ , tetapi ia juga merupakan eksperimen paling berani yang pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kepertanggungjawaban.
Apa yang saya nyatakan ini, bertepatan dalam Titah Ucapan Tuanku Yang Di Pertuan Agung, bahawa kejayaan kerajaan merealisasikan Dasar Tranformasi Nasional ini turut didokong oleh jentera Perkhidmatan Awam yang turut sama berjaya memainkan peranan penting. Justeru itu, bersyukurlah kerana kita sebenarnya boleh melihat dan merasai hasil kejayaan GTP, ETP, NKRA, NKEA, EPP . Semua ini dirangka bagi meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia secara terancang. Supaya rakyat mendapat akses terbaik dalam kehidupan : Pekerjaan, Pendidikan yang bermutu, Perkhidmatan Kesihatan yang terbaik, Prasarana awam yang mencukupi, dan Pemilikan rumah yang selesa dan sebagainya.
Justeru itu, cuba kita bandingkan dengan banyak negara yang seusia dengan negara kita, ianya pasti membuktikan Malaysia hari ini ialah manifestasi sebuah negara yang berjaya. Semuanya adalah hasil perancangan teliti dan rapi serta pelaksanaan dasar-dasar pembangunan berkesan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang meletakkan masalah serta kesejahteraan rakyat di melebihi segalanya.
Malaysia berubah daripada status negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.Ternyata, kita ialah bukti dan contoh sebuah negara yang amat progresif kerana semenjak kemerdekaan; agenda membasmi kemiskinan, reformasi tanah, keadilan sosial, meningkatkan akses kepada setiap tahap pendidikan, perkhidmatan kesihatan untuk semua dan penjanaan kekayaan nasional sebagai menjadi agenda negara kerajaan ini.Kerana itu, saya petik ; bahawa Tuanku berasa “ sukacita kerana semasa pemerintahan Tuanku yang terdahulu dan kali kedua ini. Tuanku dapat menyaksikan kemajuan negara bergerak secara progresif “.
Sebenarnya,apa yang disampaikan oleh Tuanku Yang Di Pertuan Agung ialah ucapan yang cukup ikhlas. Secara peribadi Baginda dapat melihat keadaan iaitu dimasa Tun Abdul Razak Hussin menjadi Perdana Menteri Malayisia ( – 1978 ) iaitu Ayahanda YAB Perdana Menteri. Iaitu kali pertama baginda menjadi Ketua Negara. Dan baginda juga dapat melihat bangaimana keadaan dan perubahan yang berlaku pada negara ketika YAB DS Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Baginda pasti dapat melihat bagaimana ketika itu hutan belantara mula dibuka oleh Tuan Abdul Razak Hussin untuk membuka FELDA, dan kini baginda juga dapat melihat ananda Tun Razak bukan lagi membuka hutan untuk menempatkan peneroka FELDA, tetapi melihat bagaimana PM melakukan perasmian Bangunan Pencakar Langit ” Menara FELDA ” dan melihat kejayaan Syarikat besar Felda FGV Berhad di papan utama Bursa Saham Malaysia. Ini bukan cerita dongen, ini adalah Kisah Besar. Sedikit kisah daripada pelbagai kejayaan yang telah di bawa oleh Kerajaan Barisan Nasional kepada kita semua di negara bertuah yang namanya Malaysia.
Syukurlah, selain pelbagai nikmat lain yang kita perolehi selama ini. Dibawah inisiatif GTP ia membawa manfaat kepada kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah: Bantuan Rakyat 1Malaysia, Pemberian Bantuan Persekolahan 100 ringgit, Baucer Buku 1Malaysia . Melalui Inisiatif Jenama 1Malaysia : Kedai Rakyat 1Malaysia Kedai Buku 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Projek Perumahan 1Malaysia atau PR1MA, Bantuan Tayar 1Malaysia, Kebajikan Rakyat 1Malaysia ( KAR1SMA ) serta Menu Rakyat 1Malaysia termasuklah Program Akhiri Zaman Miskin atau kediaman mampu milik.
Tidak cukup itu. Bagi kawasan luar bandar agar tidak terpisah daripada arus perdana pembangunan: jalan raya telah dibina, dibekalkan air bersih dan akses elektrik ditingkatkan. Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar ditekankan. Disamping itu, tentulah Projek penyambungan LRT dan MRT ditingkatkan bagi atasi kesulitan dan kesesakan lalu lintas. Termasuk penambahan tren enam gerabak bagi perkhidmatan tren Komuter KTM, perkhidmatan bas GoKL.  Dan tentunya, kerajaan serius dalam Membanteras Rasuah hingga Malaysia menjadi sumber rujukan bagi beberapa Negara lain Dan tentunya tidak lupa melakukan usaha Mengurangkan serta membanteras jenayah.

Melalui, Program Transformasi Ekonomi terutama kerjasama sector swasta. Kejayaan dilihat melalui pelaburan : Pelancongan, Pembangunan Greater Kuala Lumpur, Projek My Rapid Transit  Minyak & Gas, Projek RAPID di Pengerang dan sebagainya. Kejayaan juga telah diterjemahkan di dalam bentuk penciptaan peluang-peluang pekerjaan, perniagaan kepada usahawan serta projek-projek komersial yang mampu memberi faedah kepada rakyat. Saya yakin sasaran menyediakan peluang pekerjaan kepada 3.3 juta akan tercapai. Hakikatnya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang menjunjung kesejahteraan rakyat.

Sebagai rumusan kepada usaha kerajaan ini. Renunglah, tidak banyak kerajaan yang berani meletakkan sasaran yang boleh diukur serta dinilai  oleh rakyat. Umpamanya membina jalan, membina rumah ? Kemudian, mana ada kerajaan berani meminda undang undang, yang mana pindaan itu menyebabkan kerajaan hilang sebahagian kuasa yang ada sebelum ini. Misalnya meminda Akta Keselamatan Dalam negeri ( ISA ). Apa makna semua ini. Inilah bermakna Kerajaan BN, faham kehendak rakyat, memenuhi keperluan dan hak rakyatnya. Selain inilah pimpinan negara yang paling berani membuat pelbagai perubahan.
Namun demikian, sebahagian generasi muda dan rakyat terpengaruh dengan putar belit golongan dan pihak tertentu yang memesungkan fakta dan hakikat sebenar. Hingga sanggup membuang masa dalam pelbagai perhimpunan yang tidak berfaedah. Sebagai pemimpin, sepatutnya kita memandu rakyat kearah kebaikan dan mendidik menggunakan saluran yang betul. Dan bercakap benar walaupun iannya pahit. Dan sebagai pemimpin adalah lebih baik kita memikul amanah yang rakyat berikan; melawat pengundi kita yang sakit dan perlukan bantuan, menyelesaikan masalah rakyat, dan sebagainya daripada mengajak rakyat melakukan perkara yang tidak mendapatkan manfaat kepada negara.

Tan Sri Yang Di Pertua,
RINGANKAN  BEBANAN RAKYAT
Walau apa kejayaan yang telah dicapai. Kerajaan mesti terus melipatgandakan usaha mengurangkan bebanan rakyat, antaranya mengawal kenaikan harga barang-barang keperluan harian. Kini terdapat barang-barang keperluan harian dinaikkan harganya tanpa memikirkan kesusahan pengguna sesukahati. Ini dilakukan oleh peniaga atas pelbagai alasan seperti kos hidup yang tinggi dan mereka membeli dengan pemborong dengan harga yang mahal.
Justeru Kerajaan melalui, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP ) mesti memaklum dan mengambil langkah-langkah proaktif termasuk menguatkuasakan undang-undang dengan tegas, mengenakan denda kepada peniaga termasuk menarik atau membatalkan lessen perniagaan mereka selain melakukakan penguatkuasaan serta pemantauan. Konklusinya, semua pihak termasuk persatuan Peniaga hendaklah sama-sama dalam isu ini. Kerana jika tidak ditanggani dengan baik akan mewujudkan suasana dimana kesempatan diambil oleh pihak yang berkepentingan menjayakan agenda politik mereka.
Dan dalam dewan yang mulia ini, saya mohon dalam usaha meringankan bebanan rakyat, saya harap kerajaan menyegera, memperbanyak, dan mempertimbangkan perkara berikut :
Kedai Rakyat 1 Malaysia perlu diperbanyakkan terutamanya di kawasan luarbandar, kerana rakyat nampaknya begitu harapkan ia dilaksanakan. saya yakin kerana ia merupakan penghargaan atas sokongan kuat mereka kepada Barisan Nasional.
Kedai Haerdware 1 Malaysia : Bagi membantu Kontraktor Kelas F saya mohon Kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan Kedai Haerdware 1 Malaysia. Terutama dikawasan luarbandar. Ia sebenarnya membantu usahawan kecil.
Penempatan Kakitangan Awan Berkeluarga : Mereka ditempatkan berdekatan supaya kos sara hidup mereka tidak menjadi tinggi. Harap kerajaan mengkaji dan melaksanakannya demi menjaga kebajikan rakyat.

MEMAHAMI KEHENDAK GENERASI MUDA
Sebagaimana dalam titah Tuanku, saya petik; “ kerajaan menghargai sumbangan setiap lapisan masyarakt termasuk golongan muda yang mewakili 46 % penduduk Malaysia. Dan menyedari potensi, aspirasi dan peri pentingnya golongan ini dalam pembangunan negara, tranformasi pembangunan belia akan terus dilaksanakan “ Justeru itu saya menghargai komitmen kerajaan Barisan Nasional dalam hal ini.
Malah kerajaan mesti terus membuat pembaharuan dalam usaha membentuk pendekatan khusus atau menambahbaik makenisme yang sedia ada bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada golongan muda untuk bersama-sama dalam proses pembangunan negara. Ini kerana kehendak, tuntutan dan keperluan orang muda sentiasa berubah serta bertambah. Sebab itu kita perlu mempunyai kepakaran membaca kehendak golongan ini sebelum membuat sesuatu keputusan untuk mereka. Kerana itulah kita dapat lihat terutamanya kepada sesetengah golongan muda bukan Melayu ( yakni anak muda Cina ) Walaupun telah banyak yang kerajaan lakukan untuk generasi muda, namun mereka masih menganggap kehendak mereka tidak dipenuhi. Semua ini kerana kelemahan kerajaan menyampaikan maklumat kepada mereka. Oleh itu kerajaan kita perlu berubah pendekatan konservatifnya daripada menggunakan media cetak dan elektronik kepada pendekatan baru ini terutama di era siber ini. Dan “blog“ merupakan satu media alternatif mendekatkan diri dengan mereka.
Program 1M4U amat baik dan ianya perlu diperluaskan hingga ke luar Bandar. Begitu jga pengwujudan Parlimen belia . Namun perlaksanaann Parlimen Belia perlu ditambahbaik. Penglibatan belia amat terhad. Malah ramai belia tidak dirasai kewujudannya. Oleh itu, kementerian perlu melihat dan perhalusi semula Parlimen Belia serta memberikan tambah nilai serta nafas baru. Dan dalam masa yang sama melihat Majlis Perundingan Belia yang juga praktikal untuk diaktifkan kerana ianya wujud hingga ke peringkat daerah dan perwakilannya dilihat lebih menyeluruh dan melibatkan pimpinan serta belia pelbagai peringkat.

Saya ambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada YB Rembau, kerana dilantik Menteri Belia Dan Sukan Malaysia. Dan sesuai dengam perkembangan masakini, sudah sampai waktunya beberapa dasar, polisi serta program belia diberikan nafas baru dan ditambah nilai serta disegarkan kembali. Justeru itu, saya rakamkan penghargaan kerana difahamkan beberapa perubahan sedang dilakukan. Namun di dewan yang mulia ini, saya sekali lagi cadangkan supaya Menteri Belia Dan Sukan :


JAWATANKUASA KABINET PEMBANGUNAN BELIA & NAFAS BARU PROGRAM BELIA MALAYSIA
Berikan nafas baru serta tambahnilai kepada – Program program belia terutama di peringkat akar umbi, Berikan nafas baru kepada Program Kepimpinan & Latihan Kemahiran, Perbanyakkan Program Ekonomi & Keusahawanan, Perkukuhkan program Modal Insan, Bina secara bersungguh supaya lahir belia berinovasi dan kreatif. Saya yakin Kerajaan BN mampu laksanakan apatah lagi jika tanggungjawab membangunkan belia tidak hanya diamanahkan kepada Kementerian Belia Dan Sukan sahaja. Maka, pendekatan “ Strategi Laut Biru Kebangsaan “ adalah amat sesuai dan melalui JAWATANKUASA KABINET PEMBANGUNAN BELIA adalah jawapannya.
PERKASA ORGANISASI BELIA
Seolah olah berlaku kelesuan dalam organisasi belia, ini mesti kementerian berikan perhatian. Laksanakan apa yang telah dirangka dalam Akta Pembangunan Dan Pertubuhan Belia 2006 yang diluluskan dalam dewan ini. Organisasi belia mesti terus diperkasakan, terutama di desa, kampong baru, astet, taman perumahan dan sebagainya. Program mengantarabangsakan belia mesti diberi nafas baru serta diperkukuhkan.
Dan suatu perkara yang penting, walaupun, apa pandangan orang lain, kita mesti melahirkan anak malaysia yang berfikiran rasional, patriotic, kenal dan faham sejarah negara, membuat keputusan berasakan fakta dan tidak membuta tuli dan mudah terpengaruh. Sebab itu, perkara ini mesti ditekankan dalam setiap program yang Kementerian Belia Sukan lakukan.

MEMBANGUNKAN SUKAN NEGARA
Selain dari program pembangunan belia. Sudah tentu kementerian ini, tidak boleh lari daripada tanggungjawab besar membangunkan sukan negara. Dan sudah pasti rakyat inginkan pencapaian cemerlang dalam setiap jenis sukan yang negara ceburi. Sudah tentu tanggjungjawab berat kepada YB Rembau kerana majoriti rakyat mahukan kita mampu lahirkan lebih ramai Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Way. Rakyat mahukan kita hebat semula dalam Sukan Sepak Takraw. Kembalikan kehebatkan kita dalam Sukan Badminton, Dan pastinya semua kita mahu melihat sukan bola sepak serta Pasukan Bola Sepak Malaysia maju kehadapan disamping menumpukan acara acara sukan yang mampu Malaysia mencipta nama.

SEKTOR PELANCONGAN DI MALAYSIA
Sektor pelancongan akan kekal menjadi peneraju utama pembangunan ekonomi Malaysia. Sektor ini mampu menjana pulangan tinggi dan akan terus memacu ekonomi Malaysia dengan, menyediakan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada Rakyat. Hari ini, Malaysia mencapai kedudukan yang kukuh dalam pelancongan global dan merupakan negara ke-9 yang paling banyak dikunjungi di dunia dan memperoleh RM1 bilion penerimaan daripada pelawat asing setiap minggu. Malah sebagaimana yang di sebut dalam Titah Tuanku Yang Di Pertuan Agung. Malaysia di iktiraf sebagai Destinasi Keempat Membeli Belah Terbaik Dunia berdasarkan Kajian CNN Trevel 2012. Malah Inap Desa diiktiraf tempat pertama oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia Ulysses 2012.
Ini antara kejayaan yang mampu dicipta oleh sector ini. Kerana itu, saya yakin sasaran untuk mencapai 2020:36:168, iaitu pada tahun 2020, Malaysia akan menerima 36 juta ketibaan pelancong dengan penerimaan sebanyak RM168 bilion. Ini bermaksud bahawa industri pelancongan akan berkembang sebanyak tiga kali ganda dan pelancongan akan menyumbang penerimaan berjumlah RM3 bilion setiap minggu kepada negara pada tahun 2020. Tentunya bagi mencapai matlamat berkenaan, tumpuan juga adalah kepada memperbanyakkan produk pelancongan yang berpotensi dibangunkan dalam negara ini. Maka, menjadi harapan saya YB Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, turut membantu membangunkan pelbagai produk pelancongan di Lenggong iaitu kawasan yang saya wakili sesuai dengan pengiktirafan Lenggong Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kesimpulannnya saya mohon semua warga Malaysia agar memberikan sokongan padu dan berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan untuk memastikan kejayaan Industri pelancongan yang akan menyumbang sebanyak RM103.6 bilion kepada PNK menjelang tahun 2020. Saya berkeyakinan YB Padang Rengas selaku Menteri Pelancongan & Kebudayaan mampu melaksanakan amanah ini.

Tan Sri Yang Di Pertua,
TUMPUAN KAWASAN LUARBANDAR
Saya percaya kerajaan akan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar. Ini diperkukuhkan lagi, kerana berdasarkan PRU13, kita boleh lihat dengan jelas pola masyarakat bandar dan luar Bandar. Hakikatnya walaupun di kawasan bandar sokongan rakyat kepada kerajaan agak kurang, namun usaha membangunkan kawasan bandar terpaksa diteruskan kerana ia adalah pusat pentadbiran di setiap negeri. Namun pada saya, suasana dan pola politik terkini memberi kesedaran baru bahawa pembangunan di luar bandar tidak boleh lagi dipandang ringan.
Pembangunan di bandar dan luar bandar mesti seimbang. Penduduk luar bandar pasti mempertikaikan kewajaran hanya membangunkan kawasan bandar sekiranya tidak ada usaha memajukan luar bandar. Oleh itu, usaha membangunkan kawasan luar bandar perlu diberi perhatian dengan apa kos sekali pun. Realiti hari ini, penduduk luar bandarlah yang mencorakkan suasana politik dan masa depan negara. Secara umumnya, kemudahan di sebahagian besar kawasan luar bandar sudah hampir lengkap. Bagaimanapun, apa yang ketara ialah mutu kemudahan dan perkhidmatan yang ada di bandar, tidak sama dengan mutu yang ada di luar bandar. Inilah yang perlu diperbaiki dari semasa kesemasa.
Kemudahan pendidikan, mutu kesihatan, insfrastruktur luarbandar dan mutu perumahan di luar bandar dapat diperbaiki, tidak lagi persepsi mengenai diskriminasi mutu kemudahan di antara bandar dan luar bandar. Juga penting ialah jika peluang pekerjaan dapat diwujudkan di kawasan luar bandar, penduduk luar bandar tidak perlu lagi berhijrah, malah mereka boleh kekal di kampung masing-masing dengan jaminan pekerjaan yang sempurna dan mengurangkan masalah sosial.
Mereka tidak perlu menjadi menghuni bandar yang mana kos sara hidup yang agak tinggi. Inilah peranan besar yang terpaksa dipikul oleh YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Jika di bandar-bandar utama masih memerlukan empat keperluan utama ini – pelajaran, kesihatan, perumahan dan pekerjaan, tentunyalah ia menjadi keperluan mendesak bagi penduduk luar bandar. Kegagalan memberi empat kemudahan utama yang bermutu ini akan mewujudkan diskriminasi kemudahan bermutu.

Tan Sri Yang Di Pertua,
Saya harap sesuai dengan Program Tranformasi FELDA. Pekan-pekan di Rancangan Felda yang kadang-kadang orang kampung kata macam ‘Pekan Koboi’ ( istilah yang sering disebutkan beberapa kali oleh YB Tenggara ) mesti dibangunkan. Walaupun begitu, rakyat di Felda sentiasa bersyukur kepada Allah swt dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa membela nasib dan menjamin masa depan mereka. Namun masyarakat Felda memohon agar Kerajaan bukan saja membela nasib mereka dari segi pendidikan dan latihan, atau ekonomi. Namum mereka juga mahu melihat berlaku Transformasi di pekan-pekan “ ala koboi “ mereka supaya dengan mengtransformasikan pekan-pekan mereka kepada Pusat Pertumbuhan Bandar Baru. Ini penting agar tidak berlaku penghijrahan generasi muda Felda ke tempat lain.
Saya harap, Program Tranformasi Luar Bandar dipergiatkan kerana, keputusan Pilihanraya Umum Ke 13 lalu, dengan jelas memperlihatkan sokongan rakyat kawasan luarbandar kepada kerajaan tetap tidak berubah dan utuh. Mereka menjadi penyokong tegas dan sejak sekian lama memberikan kekuatan kepada Kerajaan Barisan Nasional. Justeru itu sebagai membalas budi mereka , kerajaan mestilah memberikan perhatian kepada mereka dalam banyak perkara: Pembangunan Prasarana, Pendidikan, Kesihatan, Pembinaan Rumah Mampu Milik, Pembasmian Kemiskinan dan sebagainya. . Maka itu saya boleh berikan contoh, misalnya : Projek-projek Lonjakan Mega “ Agropolitan” mesti diperbanyakkan, termasuk di DUN Kota Tampan, Lenggong kawasan yang saya wakili. Saya juga harap pembangunan prasarana digiatkan di kawasan luar bandar seluruh negara:
Pembinaan Jalan : Sambungan Kg Luat/Kg Talong Ke Intan Suraya, Sg Siput Perak.

MEMPERKASA BIDANG PENDIDIKAN NEGARA
Langkah kerajaan, menggabungkan dahulunya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi, amat tepat pada masanya. Apatah lagi di ABAD ke-21, ini pasti mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Ia akan berlaku di seluruh dunia . Dan perubahan ini berkait rapat dengan sistem pendidikan dan perkembangan sistem maklumat. Maka, bidang pendidikan ketika ini sangat penting dan mesti berupaya melahirkan pelajar yang kreatif yang mampu menyelesaikan masalah dan boleh berfikir secara kritis. Justeru pendidikan tidak hanya memberikan pengetahuan asas 3M (membaca, menulis dan mengira), tetapi mesti melahirkan orang yang berilmu pengetahuan dan mempunyai pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran di abad ini dan akan datang. Kerana itu pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya.Saya yakin iannya terangkum dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
Hakikatnya, zaman telah berubah. Kini kita dizaman apa yang diistilahkan zaman k-ekonomi. Keperluan kepada pentingnya maklumat, kreativiti, inovasi , keupayaan berfikir secara kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah , turut melibatkan aktiviti yang berbentuk global. Menariknya di zaman maklumat ini ia sentiasa memberi ruang dan peluang kepada setiap individu untuk mengembangkan bakat, kebolehan dan potensi mereka melalui “ techology-powered knowledge “ yang boleh didapati di mana-mana melalui kemudahan ICT. Namun dalam kita mendedahkan anak didik kita kepada dunia ICT. Saya harap pihak kerajaan merangka suatu rancangan tersusun agar kita akhirnya dapat melahirkan pelajar dan warga yang menjadi pengalamal teknologi maklumat serta media social yang baik, berdisiplin, amanah dan berintergiriti. Maknanya, pendidikan mengenai Pengunaan Media Sosial saya cadang dikaji supaya dilaksanakan kerajaan.
Dalam pada itu, melihat perkembangan terkini. Isu isu berkaitan perpaduan rakyat menjadi semakin penting untuk diberikan perhatian. Sebelum ini, pihak kerajaan telahpun mewajibkan kelulusan sejarah, bahasa Malaysia untuk melanjutkan pelajaran atau menjawat mana mana jawatan kerajaan ini penting demi masa depan negara kita. Justeru penekanan mengenai perkara ini juga perlu lakukan.
Kerajaan Barisan Nasional, mahu membawa Malaysia jauh melangkah ke hadapan. Sudah tentu tuntutan yang tidak munasabah daripada pihak pihak tertentu seperti Dong Xou Jung tidak perlu lagi dilayani. Kumpulan seperti ini tidak memikirkan kepentingan masa depan negara tetapi hanya menjayakan agenda tersendiri sahaja. Kalau kerajaan bertindak mengikut undang undang. Saya yakin kerajaan akan mendapat sokongan majoriti rakyat.
Tan Sri Yang Di Pertua,
MEMBACA RINTIHAN RAKYAT MELALUI LAMAN SOSIAL
Di dalam dewan yang mulia ini, saya ingin mengemukakan beberapa rintihan, rungutan, pandangan, serta cadangan yang dicatatkan oleh sebahagian rakyat dalam negara ini melalui lama social Facebook. Mereka mengharapkan tindakan diambil. Dan menjadi harapan ianya dijawab oleh YB Menteri berkaitan, antaranya :
BEBANAN GURU BERTAMBAH terutamanya Guru Guru minta supaya kerja kerja pengkeranian yang mereka sering lakukan dikurangkan. Kalangan pendidik meminta supaya mereka hanya mengkhusus dalam proses mendidik pelajar. Dan kerajaan melantik pekerja khusus menguruskan soal berkaitan pentadbiran.
Kalangan pendidik juga minta supaya Guru yang memegang Sarjana ( Master ) diberikan pengiktirafan sewajarnya.Ketika ini kedudukan mereka dari segi gaji dan beberapa perkara lain hanya setaraf dengan guru-guru berijazah. Harapan mereka perkara ini di perbetulkan.
MASALAH ORANG MUDA – Ramai anak muda minta, kerajaan merangka peluang ‘ pendidikan terus kerja ‘ ini dilaksana atau disediakan oleh kolej-kolej dengan pihak swasta. Supaya kita dapat mengurangkan siswazah yang tidak bekerja kerana kurang pulang pekerjaan.
Kemudian, masalah anak muda yang diawal usia di “ blacklist “ oleh bank mohon diberikan perhatian. Ramai antara mereka ingin membeli kareta & rumah tidak boleh dilakukan kerana masalah ini. Anak muda minta dimudahkan urusan pembelian rumah. Katanya mereka di kenakan bayaran 10 % oleh bank sebagai “ downpayment dan wang guaman “ Kebanyakan anak muda tidak mampu dan hasrat memiliki rumah tidak kesampaian.
KEBAJIKAN KAKITANGAN AWAM – seperti “ double standard “, terutama apabila kerajaan memperkenalkan “ sistem time based “, namun katanya ia tidak gunapakai kepada semua skim. Hanya skim tertentu. Mereka berharap perkara ini diberikan perhatian oleh kerajaan. Mereka mohon kerajaan memberi imbuhan khas : kepada kakitangan awam yang mempunyai Sarjana & PHD Masih berlaku kelemahan dalam kenaikan gred guru secara time based. Terdapat mereka yang terbabit dengan skim lama iaitu “ time based 10 tahun “ dan menikmatinya pada 2011. Pada 2012 kerajaan “ time based cuma 8 tahun “ Maka ramai guru yang teraniaya kerana gaji hampir sama degan guru guru baru. Mereka mohon dilihat semula perkara ini.
Kata mereka, pada 1 Jan 2013, Pangkat dalam ATM & PDRM disetarakan dgn perkhidmatan awam. Mereka mohon pihak kerajaan menyelaraskan kemudahan-kemudahan: Elaun, kemudahaan rawatan hospital dan sebagainya mengikut gred.
Kajilah Gaji Posmen. Katanya, mereka berhujan berpanas tetapi gaji dan elaun masih rendah. Misalnya, elaun rumah berbeza dengan kakitangan awam.

Tan Sri Yang Di Pertua,
PENUTUP MENCADANG USUL TITAH DI RAJA
Sebelum saya akhiri ucapan saya. Saya ingin memetik sedikit lagi Titah Ucapan Tuanku Yang Di Petuan Agung, sewaktu membuka persidangan ini kemarin. Saya petik – “ kepada ahli ahli Yang Berhormat, berkhidmatlah kepada rakyat dengan penuh didikasi, berintergriti dan senentiasa menunjukkan akhlak terpuji demi agama, maruah diri, institusi parlimen yang mulia dan negara tercinta. Sematkanlah dalam sanubari bahawa kehadiran Ahli Ahli Yang Berhormat ke dewan yang mulia ini adalah suatu tanggungjawab, bagi menunaikan janji – janji kepada rakyat. Semua Ahli Ahli Yang Berhormat hendaklah bersama-sama memikul amanah rakyat yang inginkan kestabilan dan kemamuran negara berkekalan, kesejasteraan hidup terus meningkat, serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama kian utuh “
Oleh itu Marilah kita secara bersama berpolitik secara matang dan berpegang kepada titah yang penuh makna ini supaya Malaysia negara tercinta ini terus maju kehadapan demi kesejasteraan kepada kita semua.
Maka, dengan kata suci “ Bismillahirahmanirahhim “ Saya mohon mencadangkan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Yang Di Pertuan Agung.
Terima kasih.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.