PAKATAN BERPECAH – Realitinya inilah mereka !

PAKATAN BERPECAH – Realitinya inilah mereka !

Pakatan Hanya Atas Nama, Realitinya Mereka Jayakan Agenda Kepentingan Parti
Oleh : Azman Abas
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah melihat pakatan pembangkang yang kini berkecamuk adalah berpunca daripada hala tuju yang kabur serta masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri.

Menurut beliau sikap serta tindak-tanduk mereka yang hanya mahu menjayakan matlamat masing-masing dan bukannya matlamat sebenar pakatan pembangkang menambahkan lagi hakikat berkenaan.

“Dalam isu pertukaran Menteri besar Selangor sebagai contoh, masing-masing dilihat mempunyai kepentingan dan tidak ada arah atau hala tuju yang sama dan kerana itu mereka tidak dapat mencari jalan tengah bagi menyelesaikan kemelut perlantikan berkenaan.

“Semua ini berpunca daripada tidak adanya dasar, prinsip dan falsafah perjuangan yang jelas dalam pembangkang. Malah yang lebih ketara apabila dalam isu tersebut jelas kelihatan ialah usaha menjayakan matlamat pihak tertentu.“Justeru itulah masing masing parti cuba melakukan usaha agar matlamat tercapai. Dalam erti kata lain sebenarnya semua parti bukan berusaha menjayakan matlamat pakatan tetapi mereka sebenarnya berusaha menjayakan matlamat parti masing masing,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah rumusan yang boleh dibuat hasil daripada apa yang berlaku hari ini sebenarnya menyerlahkan kegagalan Datuk Seri Anwar memimpin pakatan pembangkang.

“Apa yang boleh dirumuskan saya lihat ia adalah kegagalan Anwar memimpin. Dan paling ketara apabila banyak perkara yang selama ini mereka tuduh pimpinan Barisan Nasional (BN) lakukan yang tidak baik…akhirnya mereka sendiri yang lakukan. Umpamanya soal amalan kronisme dan nepotisme

“Bukankah jelas mereka yang lakukan dan banyak lagi contoh lain jika ingin kita sebut di sini. Apa yang jelas satu persatu kelemahan mereka hari ini dapat dilihat oleh rakyat dan realiti pakatan yang sebenar sudah tentu menjadi tanda tanya kepada kita. Apakah ini dinamakan pakatan?,” soalnya.

Perbalahan politik antara Pas dan PKR semakin ketara hari ini apabila pemimpin kedua-dua parti menyalahkan antara satu sama lain termasuklah dalam isu pertukaran MB Selangor dan dalam perbalahan terbaharu pula, dilaporkan PKR menyelar tindakan pemimpin Pas Kelantan menuntut kerusi DUN Pengkalan Kubor diserahkan semula kepada parti itu ekoran penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN meninggal dunia Rabu lalu.

Dan di Kuala Terengganu pula, Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat meminta PKR menilai keupayaan sendiri dan tidak menjadikan Pas kambing hitam berhubung pencapaian teruk PKR di negeri ini dalam pilihan raya umum lalu. -MediaUMNO

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.