PEMBAHARUAN SISTEM PILIHANRAYA DI MALAYSIA ?

PEMBAHARUAN SISTEM PILIHANRAYA DI MALAYSIA ?

KATEGORI ANALISA ISU SEMASA

KAJIAN TELITI SEBELUM SINGKAT TEMPOH UNDI

Oleh NUR FAZREEN KAMAL
15 APR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi pertimbangan sewajarnya berhubung cadangan untuk memperkenalkan proses atau waktu pengundian yang lebih singkat dan tempoh bertenang selama tiga hari.

Penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian berkata SPR perlu melakukan kaji selidik secara umum dan mendapatkan pandangan daripada semua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat supaya berlaku adil kepada semua pihak .

Beliau bersetuju dengan cadangan itu jika ia boleh meningkatkan sistem pengundian namun berharap SPR mendapatkan maklum balas daripada beberapa pihak termasuklah pengundi dan parti politik terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

“Pengundi harus komited dan tahu akan tanggungjawab serta amanah yang perlu dilakukan untuk kesejateraan negara. Jadi di sini tidak timbul isu tergesa-gesa untuk keluar membuang undi. Ini kerana saya melihat kekerapan keluar mengundi pada sebelah petang kurang berbanding di waktu pagi jadi cadangan ini mungkin ada kebaikannya tersendiri,” katanya ketika dihubungi bnbbc.my.

Berhubung tempoh bertenang tiga hari sebelum pengundian, Dr. Siva berpendapat pengundi akan lebih rasional dalam membuat keputusan sebelum keluar mengundi.

Walau bagaimanapun katanya SPR perlu mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pengundi dan parti politik sebelum ia dilaksanakan.

“Jika SPR adakan dalam bentuk townhall pun agak menarik. Dan kalau majoriti bersetuju maka semua parti politik perlu akur kerana ia tidak bercanggah dengan peraturan sedia ada dan jika dilanggar perlu dikenakan hukuman yang

Dr Sivamurugan Pandian

setimpal,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman yang juga bersependapat SPR perlu meneliti dan mengkaji kenapa peratusan yang keluar mengundi pada sebelah petang berkurangan.

“Mungkinkah mereka ini terdiri daripada golongan nelayan, petani, pesawah dan pekebun yang perlu bekerja pada sebelah pagi. Jadi ini semua perlu diambil kira sebelum SPR membuat sebarangt keputusan,” katanya.

Beliau juga berpandangan SPR mungkin melewatkan waktu pusat mengundi dibuka dan menutup sejam lebih awal daripada sebelum ini.

Dr Ahmad Nizamuddin

“Bagi saya waktu membuang undi pada jam 8 pagi terlalu awal dan jika dapat buat pada 9 pagi lebih baik kerana pengundi mempunyai masa untuk uruskan hal yang sepatutnya sebelum ke tempat undi.

“Manakala pusat pengundian boleh ditutup pada jam 4 petang dan tidaklah terlalu awal dengan mengambil kira semua faktor sekeliling,” katanya.

Mengenai tempoh bertenang yang dicadangkan, Dr. Nizamuddin berpendapat dua hari adalah lebih relevan kerana sekurang-kurangnya ada masa untuk pengundi serta calon yang bertanding berfikir secara rasional setelah mendapat rehat secukupnya.

Sementara itu, ahli parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berpandangan apa jua perubahan yang hendak dilakukan oleh SPR perlulah melihat kepada kesesuaian senario politik dalam negara.

“Kita atau SPR sendiri perlu mengkaji dengan lebih spesifik. Persoalannya adakah dengan tempoh membuang undi yang singkat dapat meningkatkan peratusan yang keluar mengundi dan adakah tempoh bertenang yang lama akan membuat semua berfikiran rasional ?” katanya.

Shamsul Anuar

Walau bagaimanapun Shamsul tidak bersetuju jika pelaksanaan peraturan baharu ini hanya menyelesaikan satu perkara sahaja dan menimbulkan banyak masalah yang lain.

Katanya pandangan menyeluruh mestilah diperolehi daripada pelbagai pihak supaya setiap perubahan yang hendak dilakukan mestilah lebih baik daripada apa yang dilaksanakan pada ketika ini.

“Biarlah apa jua peraturan baharu yang hendak dilakukan ini bersesuaian dengan budaya Malaysia. Janganlah hanya sekadar mengikut contoh negara tertentu tetapi akhirnya memberi kesan buruk kepada politik dan sistem pentadbiran negara,” katanya.

Pada 9 April, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata suruhanjaya berkenaan sedia mengkaji dan memperkenal peraturan baharu jika terbukti dapat menjadikan sistem pilihan raya di Malaysia lebih efektif.

“Kedua-dua perkara ini adalah peraturan yang boleh dipinda tanpa perlu meminda (perkara-perkara berkaitan pilihan raya) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas meninjau beberapa tempat pengundian Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen Indonesia 2014.

Beliau berkata SPR yang mendapat penghormatan menjadi tetamu rakan setugasnya di Indonesia, Komisi Pemilihan Umum (KPU), memuji perjalanan pilihan raya umum di negara itu yang disifatkannya dilaksanakan dalam keadaan ‘tertib dan hormat’. – bnbbc.my

3

Berita Bertarikh Pada 9:03 AM

20140422-000619.jpg

20140422-000634.jpg

20140422-000642.jpg

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.