PERAK MAN. ” Pulang Ke Lenggong “

PERAK MAN. ” Pulang Ke Lenggong “

Rangka Perak Man ‘pulang’

LENGGONG 15 Feb. – Selepas 24 tahun, rangka manusia prasejarah paling lengkap, Manusia Perak atau Perak Man yang asli dipamerkan kepada orang ramai di tempat asal dia ditemui.

Rangka asli manusia tertua di Malaysia itu kini ditempatkan di Galeri Arkeologi Lenggong Kota Tampan di sini.

Sambutan ‘kepulangan’ Perak Man yang diadakan di galeri berkenaan memberi makna tersendiri kepada lebih 1,000 tetamu yang terdiri daripada pelancong, pelajar dan penduduk setempat.

Malah, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang merasmikan majlis tersebut mengakui, perasaannya tersentuh apabila melihat rangka asli manusia purba itu kembali ke tempat asalnya.

“‘Kepulangan’ Perak Man merupakan detik yang cukup bersejarah buat semua khususnya masyarakat Lenggong, juga bagi saya sendiri yang merupakan anak Lenggong.

“Mulai hari ini, buat pertama kali rangka asli Perak Man dipamerkan di tempat ia ditemui di Lenggong setelah disimpan di Muzium Negara.

“Apa yang kita lakukan ini (membawa pulang Perak Man ke Lenggong) merupakan keputusan yang cukup penting dan tepat untuk masyarakat di sini melihat rangka asli Perak Man,” katanya hari ini.

Lembah Lenggong mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Tambah Mohamed Nazri, kembalinya rangka Perak Man ke Lenggong sudah pasti akan meningkatkan lagi kunjungan pelancongan ke kawasan berkenaan, namun apa yang lebih penting adalah nilai warisan itu harus dijaga.

Katanya, kini masyarakat Lenggong bertanggungjawab menjaga warisan tersebut dengan memastikan tapak warisan di sini tidak dirosakkan.

“Saya berharap penduduk menjaga hak warisan mereka, jika tidak ia akan hilang selama-lamanya.

“Kita perlu sedar tidak banyak tempat warisan di dunia yang mendapat pengiktirafan UNESCO seperti di Lenggong ini,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa Jabatan Warisan Negara telah menyediakan Pelan Pengurusan Konservasi Lembah Lenggong untuk dihantar kepada UNESCO.

Katanya, pelan itu adalah mengenai cara-cara menguruskan tapak warisan dunia dan membangunkannya untuk pelancongan tanpa merosakkan tapak warisan tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140216/dn_12/Rangka-Perak-Man-pulang#ixzz2tUsHJ0qR

© Utusan Melayu (M) Bhd

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.