PKR Parti ” Tong Kosong ” – MP Lenggong

PKR Parti ” Tong Kosong ” – MP Lenggong

Pemilihan Tunggang Langgang : PKR Parti “Tong Kosong”

Oleh : Azman Abas
KUALA LUMPUR 16 Mei – Pucuk pimpinan PKR rupa-rupanya sekadar hanya bijak bercakap tapi sebenarnya tidak berkeupayaan untuk melaksanakan apa yang sering diungkapkan khususnya soal ketelusan serta proses pemilihan yang bersih.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pemilihan parti mereka yang kian parah serta kelam kabut menunjukan betapa ketidakcekapan pengurusan pemilihan sehingga menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang kontroversi dan menggemparkan pemilihan parti tersebut.

Menurut beliau jika pemilihan dicemari dengan pelbagai insiden yang tidak sepatutnya seperti bergaduh dan sebagainya, apa lagi label yang boleh dilontarkan kepada parti berkenaan selain pemilihan sebuah parti yang celaru.

“Ingatkan bila bercakap berdegar-degar soal ketelusan dalam pilihan raya, mereka cukup bijak menguruskan pemilihan mereka. Namun rupa-rupanya lain pula jadinya. Pemilihan dalam parti sendiri pula yang kelam kabut.

“Macam mana nak memerintah sebuah negara sedangkan mentadbir parti sendiri pun tidak cekap? Bagi saya kejadian atau peristiwa yang berlaku melalui proses pemilihan PKR sekarang ini adalah cermin yang boleh rakyat nilai serta lihat.

“Saya rasa kalau sudah sampai kepada peringkat bergaduh, cubaan melarikan peti undi, report polis dan sebagainya, ini menunjukkan bahawa celarunya proses pemilihan mereka. Malah kredibeliti pihak yang mengawal selia proses pemilihan ini juga sebenarnya tidak cekap.

“Justeru, baik pimpinan di pusat atau bahagian PKR, mereka hanya bijak bercakap, tapi sebenarnya tidak berkeupayaan untuk melaksanakan apa yang sering diungkapnya,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya menambah apa yang berlaku itu juga menunjukkan kelemahan pucuk pimpinan PKR itu sendiri.

“Saya lihat Presiden PKR, Wan Azizah juga dengan jelas menampakkan kelemahannya apabila beliau gagal menjadi Presiden yang boleh menyelesaikan masalah partinya. Malah saya lihat beliau sendiri tiada idea bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Kepada rakyat, lihatlah semua ini dan kita kena matang dan bijak membuat penilaian. Apa yang akan berlaku sepanjang pemilihan PKR ini adalah gambaran kelemahan pimpinan PKR dalam semua peringkat. Sekali lagi sama-sama kita ingat bagaimana mahu memimpin negara kalau parti sendiri pun lemah dan gagal ditadbir dengan baik,” ujarnya. -MediaUMNO

20140516-235907.jpg

20140517-000011.jpg

20140517-000025.jpg

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.