SIAPA KETUAI BNBBC

SIAPA KETUAI BNBBC

‘Shahrir paling sesuai teraju BNBBC’
2013/06/06 – 07:23:48 AM Nazura Ngah | nazura_ngah@mediaprima.com.my Cetak Emel Kawan

Shahrir Samad
Pengalaman sandang tugas diyakini mampu susun strategi

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, antara tokoh yang dilihat berupaya menerajui Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) bagi penggal Parlimen Ke-13.

Beliau yang pernah memimpin BNBBC bagi penggal Parlimen Ke-11 sebelum meletak jawatan pada 2006, selepas dua tahun memegang jawatan itu antara pemimpin yang memiliki ketokohan, pengalaman, dihormati serta berkeupayaan menyusun strategi.
Abdul Latiff turut disebut

Beberapa Ahli Parlimen termasuk bekas pemimpin BNBBC penggal terdahulu yang dihubungi melihat Shahrir sebagai tokoh paling sesuai menerajui BNBBC, selain Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata beliau melihat Shahrir sebagai tokoh yang mampu menjadi jambatan penghubung antara ahli BNBBC dengan pucuk kepimpinan kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, cabaran di Dewan Rakyat bagi penggal ini agak berbeza berbanding sebelumnya kerana kehadiran dan jumlah ahli Parlimen pembangkang lebih ramai daripada ahli BNBBC.
Malah beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa BNBBC penggal lalu yakin kehadiran beberapa pemimpin baru pembangkang yang bukan hanya agresif di luar dewan akan memberi lebih cabaran kepada ahli kelab.

Gabungan kuasai dewan

“Saya yakin dengan penyertaan rakan lama serta muka baru daripada pelbagai latar belakang membolehkan BN menguasai perbahasan di Dewan Rakyat. Keadaan akan menjadi lebih hebat apabila ahli BNBBC dipandu seorang tokoh berpengalaman, dihormati serta berkeupayaan menyusun strategi dan menjaga ahli BNBBC dalam segala keadaan.

“Ini penting kerana pengerusi BNBBC bukan hanya berperanan merangka strategi dalam Dewan Rakyat tetapi berperanan supaya ahli BNBBC mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Antara tokoh yang dilihat berwibawa ialah Tan Sri Shahrir Samad. Ini bukan bermakna pengerusi sebelum ini tidak hebat, cuma jika berlaku kekosongan maka inilah tokoh pada saya sesuai menerajui BNBBC. Paling utama, BNBBC mesti dilihat hebat bukan hanya di mata ahli sendiri tetapi hebat di mata dan hati rakyat,” katanya kepada BH.

Pelantikan bagi jawatan pengerusi BNBBC sehingga kini dibuat menerusi pemilihan oleh anggota kelab berkenaan walaupun terdapat cadangan supaya jawatan itu dilantik oleh Ketua Whip.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.