TEMUBUAL SAYA DI BERITA NASIONAL RTM 1

TEMUBUAL SAYA DI BERITA NASIONAL RTM 1

STESEN    :     RTM
SLOT      :     Berita Nasional 1.00 tengahari
TARIKH    :     11 Januari 2016
MASA        :     1.00 tengah hari – 1.20 tengah hari
TOPIK    :     Bayaran Balik Pembiayaan PTPTN & Potongan  Gaji
PANEL PTPTN     :     YB. Dato’ Shamsul Anuar bin Hj Nasarah      
                                             Pengerusi PTPTN

Soalan 1 :
Baru-baru ini heboh diperkatakan mengenai bayaran balik pembiayaan PTPTN secara potongan gaji. Boleh Dato’ jelaskan mengenai kaedah ini? 

Jawapan :
Kaedah potongan gaji merupakan salah satu kaedah bayaran balik pembiayaan yang disediakan oleh PTPTN. Walau bagaimanapun kebanyakan peminjam menolak penggunaan kaedah ini dengan pelbagai alasan. Ia sebenarnya merupakan satu kaedah yang memudahkan kedua-dua belah pihak iaitu peminjam dan juga PTPTN. Potongan gaji adalah kaedah terbaik untuk menjamin  kelestarian dana kewangan PTPTN bagi  membantu kelangsungan pembiayaan generasi akan datang. Kaedah ini BUKANLAH khusus kepada penjawat awam sahaja, tetapi adalah terbuka juga kepada semua peminjam yang berkhidmat di sektor swasta. PTPTN juga berharap agar majikan di sektor swasta menjadikan inisiatif potongan gaji penjawat awam yang sedang giat dilaksanakan oleh PTPTN sebagai contoh dan ikutan, selain membantu memudahkan pekerja atau kakitangan mereka membuat bayaran secara automatik dan konsisten pada setiap bulan.

Untuk makluman, mulai 1 November 2015, potongan gaji untuk bayaran balik pembiayaan diuruskan TERUS oleh PTPTN dan TIDAK LAGI melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Ini sebenarnya lebih memudahkan majikan dan peminjam kerana tidak perlu berurusan dengan pihak ketiga

Soalan 2 :
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh PTPTN untuk memastikan peminjam melaksanakan tanggungjawab membayar balik pembiayaan mereka?

Jawapan :
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh PTPTN bagi memastikan peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membayar balik pembiayaan. Antara inisiatif yang telah diambil adalah:
a) Kempen kesedaran bayaran balik melalui media massa dan juga media baharu. – Selain daripada kempen menyedarkan peminjam tentang tanggungjawab, PTPTN juga telah menggunakan kaedah ini untuk membuat hebahan mengenai perubahan polisi dan kaedah bayaran balik yang boleh dilakukan oleh peminjam.
b) Kerjasama dengan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) – Telah mengadakan taklimat pengurusan kredit di semua Universiti Awam dan juga turut mengagihkan buku Pengurusan Kredit secara percuma kepada pelajar semester akhir.
c) Kerjasama dengan majikan di seluruh Malaysia – Taklimat di agensi kerajaan dan swasta terpilih serta memperkenalkan program Sahabat yang memberikan insentif kewangan kepada majikan yang berjaya membuat potongan gaji pekerja yang merupakan peminjam PTPTN.
d) Menyediakan pelbagai kaedah saluran bayaran balik – kaunter PTPTN, kaunter agen bank yang dilantik, kaunter Pos Malaysia, perbankan internet, PosOnline, atas talian melalui portal rasmi PTPTN, pengeluaran Akaun II KWSP dan juga melalui potongan gaji.
e) Menurunkan kos pentadbiran daripada 3% kepada 1% (ujrah) mulai 1 Jun 2008.- Peminjam yang masih belum menukar perjanjian kepada Ujrah diseru untuk mengambil peluang ini dengan hadir di kaunter PTPTN dengan kadar segera. Dengan pertukaran ini juga, bagi peminjam yang tidak berkemampuan juga boleh membuat penstrukturan semula hutang.

f) Diskaun 20% bagi penyelesaian penuh yang dibuat secara sekali gus sebanyak 2 kali.
g) Rebat 10% bagi pembayaran yang mengikut jadual bayarn balik yang telah ditetapkan selama 12 bulan berturut-turut. Walau bagaimanapun promosi ini telah taat pada 31 Disember 2015 yang lalu.
h) Pembukaan 75 cawangan PTPTN di seluruh negara bagi memudahkan peminjam untuk berurusan dengan PTPTN dan waktu operasi di cawangan/ kiosk di pasaraya sehingga jam 10 malam serta pada hujung minggu. Ini tidak lain dan tidak bukan bagi memberi peluang kepada peminjam untuk berurusan di luar waktu pejabat mereka. Bagi tujuan keselamatan dan keselesaan pelanggan, bayaran balik di kaunter PTPTN boleh dibuat melalui tunai dengan menggunakan kad kredit, kad debit dan kad ATM bank-bank tempatan melalui melalui kemudahan EDC Terminal yang disediakan.
i) Perkhidmatan Eksekutif Pemasaran di seluruh negara- Peminjam boleh menghubungi dan membuat temujanji untuk berjumpa dengan Eksekutif Pemasaran PTPTN pada bila-bila masa mengikut kesesuaian masa peminjam bagi membuat sebarang pertanyaan dan rundingan. Nombor hubungan Eksekutif Pemasaran ini boleh dirujuk pada portal rasmi PTPTN.

Begitu banyak sekali inisiatif  yang diambil untuk peminjam berurusan dengan PTPTN dan diharap dengan inisiatif yang diambil ini, tiada lagi peminjam yang memberi pelbagai alasan untuk tidak tampil berunding dan membuat bayaran balik pembiayaan PTPTN mereka.

Soalan 3 :
Apakah rasionalnya tindakan potongan gaji mandatori yang diambil ke atas peminjam baru-baru ini?

Jawapan :
PTPTN secara umumnya dikenali sebagai sebuah agensi yang memberikan pembiayaan kepada pelajar-pelajar yang layak masuk ke universiti selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.

PTPTN memerlukan sekurang-kurangnya sebanyak RM5.0 bilion pada setiap tahun bagi menyalurkan pembiayaan kepada peminjam baru dan peminjam sedia ada. Sehingga 30 November 2015, PTPTN telah meluluskan sebanyak lebih 2.4 pembiayaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak lebih RM54.5 bilion.

Sehingga 30 November 2015, jumlah bayaran balik yang dapat dikutip adalah sebanyak hampir RM7.0 bilion, iaitu hanya 46.1% daripada RM15.1 bilion yang sepatutnya dikutip.  Bagi membolehkan pembiayaan diteruskan kepada generasi yang akan datang, kutipan bayaran balik merupakan faktor kritikal untuk memastikan kecukupan dana yang berterusan. Dengan kedudukan kutipan bayaran balik semasa, PTPTN mungkin tidak dapat meneruskan dasar pembiayaan sedia ada. 

Sebelum ini, ekoran kekurangan dana sebanyak RM350 juta untuk pembiayaan, bermula 1 November 2014 jumlah pembiayaan kepada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah terpaksa dikurangkan sebanyak 5% dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sebanyak 15% daripada jumlah maksimum sebelumnya. Sekiranya tiada langkah serius diambil, berkemungkinan penurunan jumlah pinjaman sebegini perlu dilaksanakan lagi.

Oleh itu, pada bulan Disember yang lepas PTPTN telah mengeluarkan arahan potongan gaji mandatori bayaran balik pembiayaan PTPTN bagi seramai 3,193 penjawat awam. Mereka ini adalah sebenarnya adalah sebahagian daripada lebih 25,000 penjawat awam yang tidak pernah membuat bayaran balik pembiayaan PTPTN mereka. Terdapat jumlah potongan yang besar ekoran jumlah tunggakan dan baki hutang yang besar dan tempoh bayaran balik yang pendek dan hampir tamat. Walau bagaimanapun, isu ini dianggap selesai kerana sebagai tanda prihatin dan setelah mengambilkira pelbagai perkara, jumlah bersih potongan gaji selepas ditolak ansuran bulanan semasa telah pun dipulangkan kepada mereka melalui akaun bank masing-masing pada 30 dan 31 Disember yang lalu. Mereka juga diminta untuk tampil berunding sebelum 18 Januari 2016 bagi mengelakkan potongan mandatori berkenaan dikenakan semula kepada mereka. 

Dengan penjelasan yang diberikan, saya berharap semua pihak faham bahawa tindakan ini diambil adalah untuk keadilan semua pihak, terutama peminjam-peminjam lain yang telah pun menjalankan tanggungjawab mereka untuk membuat bayaran balik sebaik jadual bayaran balik mereka bermula. Merujuk kepada kes penjawat awam, terdapat seramai kira-kira 277,000 merupakan peminjam PTPTN dan seramai 25,000 tidak pernah membuat sebarang bayaran balik langsung. Selain itu keadilan ini juga adalah bagi memberi peluang kepada generasi akan datang yang memerlukan pembiayaan pendidikan ini menikmati manfaat yang sama sebagaimana diterima oleh peminjam-peminjam terdahulu. Mereka yang memerlukan ini mungkin terdiri daripada anak-anak penjawat awam sendiri.

Soalan 4:
Sebahagian peminjam di luar sana tahu akan kaedah bayaran balik pembiayaan. Walau bagaimanapun dengan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini mereka merasakan jumlah ansuran bulanan yang ditetapkan agak membebankan. Apakan yang boleh dilakukan oleh peminjam ini?

Jawapan :
PTPTN sentiasa prihatin dengan kenaikan kos sara hidup yang dialami rakyat Malaysia khususnya peminjam PTPTN.  Oleh itu, PTPTN telah memperkenalkan kaedah penstrukturan semula pembiayaan dengan hasrat untuk membantu mengurangkan beban peminjam.  Melalui kaedah ini, peminjam PTPTN  yang  berdepan kesukaran untuk membuat bayaran balik  tidak perlu gusar kerana kaedah ini membolehkan peminjam dapat membuat bayaran balik dengan ansuran bulanan yang lebih rendah dan tempoh bayaran balik yang lebih panjang.

Ansuran bulanan minimum adalah berdasarkan penentuan anggaran 5% sehingga 8% daripada jumlah pendapatan kasar, tertakluk kepada kelayakan tempoh bayaran balik (sehingga umur 60 tahun). 

Kaedah penstrukturan semula ini  terbuka  kepada pembiayaan Ujrah sahaja. Justeru, peminjam konvensional yang berhasrat memohon kemudahan ini disaran segera  membuat permohonan pertukaran Ujrah. Dengan pertukaran ini, peminjam dapat menikmati penjimatan kos daripada 3 % kepada 1 %.

Tiada  caj pemprosesan dikenakan bagi penstrukturan semula pada kali pertama, manakala bagi  kali kedua dan seterusnya akan dikenakan caj antara RM50 hingga RM200.

Peminjam yang ingin memohon penstrukturan semula dikehendaki hadir sendiri ke mana-mana kaunter PTPTN. Ianya bagi memudahkan rundingan, penjelasan dan penerimaan dokumen tawaran diuruskan.
Peminjam yang TIDAK melaksanakan bayaran balik  secara konsisten sudah pasti mempunyai tunggakan ansuran bayaran balik.  Sekiranya peminjam membuat potongan gaji tanpa membuat sebarang penstrukturan semula atau bayaran balik tunggakan berkenaan, potongan gaji yang dibuat hanya menyelesaikan bayaran balik ke hadapan dan tidak menyelesaikan tunggakan mereka. Oleh itu, bagi menyelesaikan tunggakan ini, peminjam mempunyai pilihan :

i. Bayar keseluruhan tunggakan dan buat potongan gaji. Sekiranya mampu meneruskan potongan gaji dengan jumlah asal, tidak perlu buat penstrukturan semula; atau
ii. Bayar sekurang-kurangnya 50% daripada tunggakan, buat penstrukturan semula dan potongan gaji berdasarkan ansuran selepas penstrukturan.
.

Soalan 5 :
Dengan pelbagai inisiatif yang diambil dan juga insentif yang diberikan, masih lagi terdapat peminjam yang masih belum membuat bayaran balik pinjaman mereka. Bagi peminjam yang masih berdegil ini, apakah tindakan penguatkuasaan yang diambil ke atas mereka?

Jawapan :
Tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas peminjam yang masih tidak mengendahkan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik, antaranya :

a) Penghantaran notis peringatan dan notis tuntutan bagi mengingatkan peminjam akan tanggungjawab mereka untuk memulakan bayaran balik pinjaman.
b) Tindakan senarai hitam imigresen – setakat 30 November 2015 seramai 167,880 peminjam telah disenaraikan dan saya menyeru agar peminjam yang hendak keluar negara untuk menyemak terlebih dahulu dengan PTPTN.
c) Tindakan Mahkamah- sehingga 30 November 2015, seramai 113,088 peminjam telah disaman.

Soalan 6 :
Bagi mengakhiri temubual ini, apakah kata-kata akhir Dato’?

Jawapan :
PTPTN sentiasa menyokong aspirasi kerajaan untuk memastikan masa depan pendidikan negara dapat melahirkan generasi bakal pemimpin negara yang berkualiti dan berdaya saing.

Dalam usaha mendepani cabaran yang mendatang, masyarakat seharusnya menyedari kepentingan PTPTN di tengah-tengah keperluan pendidikan negara untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk melanjutkan pengajian. Adilkah? Jika kita saja yang mengecapi kejayaan, sedangkan adik-adik kita yang lain gagal memasuki IPT atas  sebab kewangan.
PTPTN berharap semua golongan masyarakat dapat menyokong usaha kami dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang peminjam. Jika perkara ini tidak difahami, ia akan menyukarkan agensi ini untuk melaksanakan pelbagai dasar dan pendekatan baharu pada masa hadapan sekaligus menjejaskan  keberkesanannya kepada rakyat. Diharap hasrat kami untuk membudayakan bayaran balik secara konsisten ini dapat dijayakan. Sekiranya tuan/puan ingin mendapatkan sebarang maklumat atau pertanyaan, boleh hadir ke kaunter PTPTN atau kemukakan melalui medium komunikasi PTPTN iaitu:
a) Portal rasmi PTPTN :  www.ptptn.gov.my
b) Icare PTPTN : icare.ptptn.gov.my
c) Hotline PTPTN : 03-2080 4455
d) Facebook Rasmi PTPTN : Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional  (PTPTN)
e) Twitter Rasmi PTPTN : @twitptptn
f) Instagram Rasmi PTPTN : Instaptptn

Bagi  peminjam ingin membuat potongan gaji hendaklah mengisi Borang Kebenaran Potongan Gaji yang boleh dimuat turun di Portal Rasmi PTPTN.

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.